top of page

Kempen berbaur perkauman Asyraf Wajdi cuba kelirukan rakyat N Sembilan - Saifuddin

  • Writer: Azuan Ab Rahman
    Azuan Ab Rahman
  • 19 hours ago
  • 2 min read

Pakatan Harapan (PH) menyelar kempen berbaur perkauman yang cuba dimainkan Barisan Nasional (BN) pada kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.

Ketua Sekretariat Jabatan Pilihan Raya PH, Saifuddin Shafi Muhammad (gambar) berkata, kenyataan Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berhubung isu calon Menteri Besar dalam satu kempen baru-baru ini dianggap mengelirukan dan menghina rakyat negeri itu.

"HARAPAN ingin menyentuh tentang kenyataan dangkal Dr Asyraf Wajdi dalam satu kempen yang menyebut ‘Jika Tok Min (Aminudin Harun) kalah, siapa jadi MB PH, Anthony Loke ke?


"Kenyataan tersebut bukan sahaja mengelirukan rakyat, malah menghina kebijaksanaan pengundi Negeri Sembilan serta seolah-olah mendahului kuasa Yang di-Pertuan Besar dalam pelantikan Menteri Besar.


"Sekiranya kenyataan itu berunsur mengembangkan permusuhan atau kebencian antara kaum bagi mempengaruhi pengundi, ia boleh disiasat mengikut Seksyen 4A Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954," katanya dalam satu kenyataan.


Asyraf Wajdi ketika berkempen bersama calon BN Pilah pada Khamis cuba menakut-nakutkan pengundi dengan membangkitkan persoalan sama ada Anthony akan menjadi Menteri Besar sekiranya Datuk Seri Aminuddin Harun tewas pada PRN Sabtu depan.


Kenyataan Asyraf, kata Saifuddin, jelas bercanggah dengan Perkara 36 Akta Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 yang menetapkan Menteri Besar Negeri Sembilan mestilah seorang Melayu dan beragama Islam.


Menerusi kenyataan sama Saifuddin yang juga Timbalan Setiausaha Agung KEADILAN menegaskan, PH sebagai parti politik yang pro kepada rakyat tidak pernah menolak usaha memperkasakan agenda Melayu dan Islam, namun tegasnya ia perlu dilakukan secara jujur, berlandaskan fakta serta tidak menjadikan kaum lain sebagai sasaran politik.


"Namun dalam banyak keadaan, pihak yang sering memainkan sentimen perkauman inilah yang sebenarnya gagal berlaku jujur dalam membela nasib orang Melayu dan Islam.


"Semua pihak kembali ke landasan sebenar kempen dengan memberikan penerangan tentang pembelaan nasib rakyat, pemantapan ekonomi dan kestabilan politik berbanding menanamkan politik perkauman dan kebencian yang memusnahkan rakyat," tegasnya.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page