top of page

Kementerian Pertanian teliti isu kadar potongan, pemutuan padi

Writer: Akmal Manaf
Akmal Manaf
11 hours ago
1 min read

Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan akan meneliti aduan berhubung kadar pemotongan dan pemutuan padi yang didakwa terlalu tinggi sehingga mencecah 40 peratus demi memastikan penyelesaian yang adil kepada golongan pesawah dan pengilang.


Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, aduan mengenai kadar pemotongan padi perlu diperiksa secara menyeluruh kerana terdapat kes yang berpunca daripada keadaan fizikal padi, selain tindakan segelintir pengilang yang mengenakan potongan tidak munasabah.


Beliau berkata, hasil pemeriksaan terhadap aduan yang diterima mendapati, tidak semua dakwaan mengenai pemotongan tinggi mempunyai asas yang sama, memandangkan keadaan padi yang dituai turut mempengaruhi kadar potongan.


"Pemotongan padi ini, aduan itu apabila diperiksa tidak seperti itu, ada aduan asli, ada kilang-kilang yang membuat pemotongan yang tidak munasabah.


"Sebab pemotongan ini berdasarkan padi itu muda atau tua, ada unsur-unsur luar dalam padi itu, misalnya hampa dan sebagainya, dan padi itu cukup masak atau tidak," katanya.


Mohamad berkata demikian ketika program Interviu bertajuk 'Bang Mat Dedah Masalah Padi' yang disiarkan oleh Sinar Harian semalam.


Mengulas lanjut, beliau berkata terdapat satu aduan yang dibangkitkan di Parlimen sebelum ini melibatkan pemotongan melebihi 50 peratus, namun pemeriksaan pegawai mendapati padi yang dihantar mempunyai kandungan hampa yang tinggi berbanding isi padi.


"Misalnya ada satu aduan di Parlimen, potongan sehingga 50% lebih. Kita hantar pegawai untuk periksa, itu memang sebab padi itu macam padi bulu ayam, ertinya lebih banyak hampa daripada isi.


"Tapi bukan kejadian itu melibatkan semua kawasan sawah padi di parit itu, hanya beberapa tempat di situ.


"Di pihak pengadu kita kena periksa dan di pihak pengilang pun kita kena periksa. Sebab itu kena lihat di kedua-dua belah pihak, baru kita boleh pertimbangkan untuk hantar ambil tindakan," ujarnya lagi.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page