Kementerian Pertanian perkukuh usaha kurangkan impak El Nino
- Suara Keadilan

- 6 hours ago
- 1 min read

Kerajaan MADANI terus komited memperkukuh usaha bagi mengurangkan impak fenomena El Nino terhadap sektor agromakanan.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) Datuk Seri Mohamad Sabu berkata pelbagai langkah mitigasi akan dilaksana bagi memastikan pengurusan sumber air yang lebih cekap, memperluas penggunaan teknologi pengairan pintar serta menyediakan bantuan kepada petani dan pesawah yang terjejas.
Selain itu, kerajaan juga akan turut membuat pemantauan berterusan paras air empangan dan kawasan tadahan, pengurusan sumber air secara bersepadu, penggunaan sistem pemantauan pengairan pintar serta sistem pengairan titis bagi mengoptimumkan penggunaan air sepanjang tempoh fenomena tersebut.
"Mesyuarat Keterjaminan Makanan yang dipengerusikan Perdana Menteri telah meminta MARDI mempertingkatkan penyelidikan untuk mengeluarkan varieti-varieti baharu.
"Usaha meningkatkan daya tahan sektor padi turut diperkukuh menerusi penyelidikan dan pembangunan varieti padi baharu yang lebih tahan kemarau," katanya dipetik laporan media di Dewan Rakyat pada Khamis.
Sementara itu tambah Mohamad Sabu, kerajaan juga menyediakan skim perlindungan dan bantuan kepada pesawah yang terkesan akibat bencana termasuk kemarau.
Bagi fasa pertama bantuan, sebanyak RM45.24 juta telah disalurkan kepada 8,224 pesawah sejak 2024 manakala sehingga 30 Jun 2026, sejumlah RM38.53 juta diagihkan kepada 55,058 pesawah melibatkan 16,933 hektar kawasan yang terjejas akibat kemarau di utara dan timur Semenanjung.
"Kerajaan turut menggalakkan pembangunan sawah berskala besar termasuk di Sarawak, Pahang dan beberapa negeri lain bagi meningkatkan pengeluaran padi negara.
"Aamalan pertanian persekitaran terkawal juga diperluas bagi mengurangkan kesan perubahan cuaca terhadap tanaman dan sektor penternakan," tambahnya.
Fenomena Super El Nino diramal melanda Malaysia bermula November dan memuncak pada awal tahun depan.
Ia berpotensi membawa cuaca panas melampau , taburan hujan rendah, dan risiko jerebu rentas sempadan.




Comments