top of page

Kementerian Pertanian lancar KENDIRI: Galak rakyat tanam sayuran di rumah

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 4 hours ago
  • 1 min read

Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) melancarkan Kempen Kebun di Rumah Sendiri (KENDIRI) sebagai intervensi strategik nasional menggalakkan penghasilan sebahagian daripada bahan makanan sendiri di rumah.


Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu (gambar) berkata, sumber makanan dihasilkan sendiri mampu meningkatkan daya tahan keluarga terutama ketika negara berdepan gangguan rantaian bekalan dan kenaikan harga makanan.


"Ketidaktentuan geopolitik ketika ini mengingatkan kepada situasi pada 1974, yang mendorong kerajaan ketika itu memperkenalkan Kempen Buku Hijau.


"Apabila setiap rumah mampu menanam dan menuai sendiri sebahagian keperluan sayur-sayuran dan herba harian, kita bukan sahaja menjimatkan wang perbelanjaan, malah membina ketahanan keluarga mendepani sebarang krisis atau perubahan iklim," katanya dipetik laporan media.


Kempen tersebut dilancarkan sempena Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2026 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), di Serdang.


Sementara itu menurut Mohammad Sabu, dengan mengangkat tema 'Tanam Apa Yang Kita Makan, Makan Apa Yang Kita Tanam', kempen itu menggalakkan rakyat memulakan tanaman berdasarkan keperluan dapur seperti cili, sawi, kangkung, daun bawang, pandan, serai dan kunyit.


Sasaran akhir kempen tersebut jelasnya adalah untuk mentransformasikan ruang kediaman rakyat Malaysia menjadi satu ekosistem domestik yang mampu membekalkan hasil tanaman segar, bersih, selamat dan bebas daripada racun perosak berlebihan pada bila-bila masa diperlukan.


"Kita tidak tahu berapa lama pertelingkahan geopolitik ini akan berlaku. Sebab itu persediaan perlu dibuat supaya kalau berlaku bekalan makanan terjejas atau kenaikan harga, kita memperbanyakkan bahan makanan di pasaran, termasuk dari rumah," tambahnya merujuk konflik di Asia Barat yang telah menyebabkan krisis bekalan tenaga di seluruh dunia.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page