top of page

Kementerian Pendidikan tambah dua kolej Tingkatan Enam

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 1 hour ago
  • 1 min read

Akses pendidikan prauniversiti kini diperluas kepada lebih ramai pelajar di seluruh negara menerusi penubuhan dua buah kolej Tingkatan Enam baharu tahun ini


Menteri Pendidikan (KPM) Fadhlina Sidek (gambar) berkata, penambahan Kolej Tingkatan Enam Alor Setar di Kedah dan Kolej Tingkatan Enam Gombak di Selangor menjadikan jumlah kolej Tingkatan Enam meningkat daripada 27 kepada 29 buah.


Tambah beliau, ekosistem Tingkatan Enam kini merangkumi 29 kolej, 99 sekolah Mod 2 dan 502 sekolah Mod 3 selaras dengan usaha kerajaan memperkasakan laluan pendidikan prauniversiti yang berkualiti serta inklusif.


"KPM turut memberi perhatian terhadap kebajikan dan pembangunan intelektual pelajar Tingkatan Enam. Sehingga 15 Jun lalu, seramai 92,291 pelajar Tingkatan Enam di seluruh negara menerima manfaat baucar buku melibatkan peruntukan keseluruhan sebanyak RM9.23 juta," katanya dipetik.


Fadhlina berkata begitu menerusi ucapan di Majlis Pengumuman Keputusan Peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) Tahun 2025 dan Majlis Penyampaian Anugerah Pelajar Terbaik STPM, MUET dan SKBMW Tahun 2025 di Selayang pada Khamis.


Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan, transformasi pembelajaran digital di kolej Tingkatan Enam bakal terus diperkasakan.


Ia termasuk penyediaan kemudahan papan pintar (smartboard) yang akan diperluaskan secara berperingkat ke semua kolej Tingkatan Enam di seluruh negara.

Selain memperkukuh aspek akademik dan pembelajaran digital, KPM juga jelasnya akan turut memberi perhatian terhadap pembangunan kepimpinan serta sahsiah pelajar Tingkatan Enam.


Usaha tersebut bakal dilaksana menerusi penganjuran Kongres Prauniversiti Kebangsaan pada Ogos depan yang menghimpunkan wakil pelajar Tingkatan Enam dari setiap negeri bagi bertukar idea dan pandangan dalam kalangan pelajar prauniversiti.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page