Kementerian Komunikasi sedia kerjasama terbit siri televisyen Sumud Protokol


Kementerian Komunikasi sedia bekerjasama bagi merealisasikan penerbitan siri mini televisyen berkaitan Global Sumud Flotila bertujuan memperluas mesej kemanusiaan dan solidariti terhadap rakyat Palestin.
Menterinya, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata pihaknya bersedia menghulurkan sokongan bagi menjadikannya projek yang diterajui Ketua Pengarah Pusat Kawalan Sumud Nusantara (SNCC), Datuk Dr Ahmad Sani Araby itu menjadi kenyataan.
Beliau berkata, penerbitan itu adalah inisiatif media yang positif untuk memperluaskan isu kemanusiaan dan meningkatkan kesedaran masyarakat tentang perjuangan rakyat Palestin.
"Saya amat menyokong usaha Datuk Sani dan pasukan yang akan menerbitkan satu program, satu siri TV yang diberi nama Sumud Protokol.
"Kita akan bekerjasama untuk memastikan naskhah ini dapat diterjemahkan menjadi sebuah siri mini dan akan ditayangkan Insya-Allah apabila ia siap dilaksanakan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Makan Malam Sumud Nusantara sempena Global Sumud Congress 2026, di Bangi malam tadi.
Majlis itu turut dihadiri Perdana Menteri merangkap Penaung Perdana Sumud Nusantara Datuk Seri Anwar Ibrahim; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr Zulkifli Hasan; Menteri Belia dan Sukan, Dr Taufiq Johari; Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dan Pengerusi Kaukus Palestin Parlimen Malaysia, Syed Ibrahim Syed Noh.
Menurut Fahmi lagi, pihaknya juga bersedia membantu menyebarluaskan penerbitan itu menerusi platform media sosial.




Comments