Akta Perkhidmatan Parlimen: Reformasi institusi, serah sebahagian kuasa kerajaan


Datuk Seri Anwar Ibrahim mengakui penguatkuasaan Akta Perkhidmatan Parlimen 2025 memerlukan kerajaan menyerahkan sebahagian kuasa yang sebelum ini lazimnya berada di bawah kawalan eksekutif sekali gus menandakan komitmen untuk mematangkan demokrasi berparlimen negara.
Perdana Menteri berkata langkah mengembalikan perkhidmatan khusus Parlimen itu merupakan perkembangan penting dalam reformasi institusi negara khususnya dalam memperkukuh kebebasan, keupayaan pentadbiran dan kedudukan Parlimen sebagai institusi demokrasi.
"Bagi kerajaan tentunya ada kebimbangan kerana kita bersedia dengan satu sistem yang banyak memihak kepada kerajaan.
"Reform (pembaharuan)... ini menunjukkan satu sikap dan tekad politik yang berani dan tegas. Sedia membawa perubahan walaupun ini bermakna penyerahan sebahagian daripada kuasa yang lazim ditentukan oleh pihak kerajaan dan Ketua Majlis.
"Jadi sebab itu, saya anggap perubahan ini dan Akta Perkhidmatan Parlimen ini penting kerana dia, saya tegaskan, memaknai erti demokrasi berparlimen dan kematangan sistem demokrasi," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Peralihan Pentadbiran dan Reformasi Institusi Parlimen Malaysia di Dewan Bankuet, Parlimen Malaysia hari ini.
Hadir sama Yang di-Pertua Dewan Negara Senator Datuk Seri Awang Bemee Awang Ali Basah, Yang di-Pertua Dewan Rakyat Tan Sri Datuk Dr. Johari Abdul dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said.
Akta Perkhidmatan Parlimen 2025 diluluskan Dewan Rakyat pada 5 Mac 2025 dan Dewan Negara pada 20 Mac tahun sama sebelum mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong pada 9 Julai 2025 serta diwartakan pada 18 Julai 2025.
Akta itu mula berkuat kuasa pada 1 Oktober 2026 sekali gus mengembalikan autonomi pentadbiran Parlimen selepas Akta Perkhidmatan Parlimen 1963 dimansuhkan pada 20 November 1992.
Perdana Menteri berkata Akta Perkhidmatan Parlimen 2025 penting kerana membawa makna sebenar demokrasi berparlimen dan mencerminkan kematangan sistem demokrasi negara.
Beliau turut mengiktiraf sokongan Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang yang membolehkan usaha reformasi itu dilaksanaka selain menghargai peranan Yang di-Pertua Dewan Negara, Yang di-Pertua Dewan Rakyat serta Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi).
Menurutnya perjalanan demokrasi berparlimen Malaysia melalui beberapa perubahan sejak pelaksanaan undang-undang berkaitan perkhidmatan Parlimen pada 1966 sebelum dimansuhkan pada 1992 dan dikembalikan menerusi reformasi terbaharu.
Beliau berkata pengukuhan kebebasan dan bidang kuasa Parlimen perlu disertai peningkatan profesionalisme kakitangannya, mutu perbahasan serta adab dalam kalangan wakil rakyat.
"...dengan kebebasan dan bidang kuasa Parlimen untuk mengangkat keupayaan stafnya sendiri dan tahap profesionalismenya, kita juga mengharapkan suatu pengangkatan dan peningkatan mutu perbahasan dan juga adab dalam perbahasan sesuai dengan bidang kuasa yang baharu," katanya.
Anwar menegaskan usaha itu memerlukan kerjasama semua pihak termasuk barisan hadapan kerajaan (frontbench), Ahli Parlimen penyokong kerajaan (backbenchers) dan pembangkang.
Beliau turut mengingatkan kebebasan yang diberikan perlu dilaksanakan dalam batas tertentu bagi memastikan reformasi berkenaan terus selari dengan prinsip demokrasi dan tanggungjawab institusi.
Dalam ucapannya Anwar turut menyentuh pelantikan empat Ahli Parlimen sebagai anggota Majlis Perkhidmatan Parlimen yang diluluskan pada sebelah pagi.
Mereka ialah Ramkarpal Singh (PH-Bukit Gelugor), Datuk Seri Hasni Mohammad (BN-Simpang Renggam), Datuk Seri Dr Ronald Kiandee (PN- Beluran) dan Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PN- Kota Bharu).
Pelantikan itu merangkumi dua wakil kerajaan dan dua wakil pembangkang.
Anwar turut berseloroh mengenai tindakan Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul, yang menghalangnya daripada berucap ketika urusan di Dewan Rakyat sebelum itu sambil menyifatkannya sebagai permulaan bermakna dalam sejarah kematangan Parlimen.
Terdahulu Perdana Menteri membentang usul pelantikan tersebut mengikut Seksyen 3(2)(f) Akta Perkhidmatan Parlimen 2025 berdasarkan cadangan Jawatankuasa Pemilih Dewan Rakyat.
Menurut usul itu, Jawatankuasa Pemilih yang bermesyuarat pada 13 Oktober bersetuju mencadangkan empat Ahli Parlimen tersebut untuk menganggotai majlis itu.
Usul itu kemudiannya diluluskan menerusi undian suara tanpa perbahasan selepas Yang Dipertua Dewan Rakyat memaklumkan persetujuan telah dicapai dalam mesyuarat jawatankuasa itu terhadap empat nama yang dicadangkan dan tiada keperluan perbahasan usul berkenaan diadakan.
Anwar berkata beliau berharap Speaker Dewan Rakyat dapat memberikan ruang untuk penjelasan beliau untuk direkod dalam hansard mengenai sejarah kematangan Parlimen.
"Jadi inilah antara langkah penting yang saya anggap sebagai tonggak dalam reformasi Negara Madani ini iaitu melaksanakan, menunaikan janji kita kepada rakyat bahawa Akta Perkhidmatan Parlimen diperkenalkan, diluluskan dan membatasi kuasa yang sedia ada, lazim ada pada kerajaan terutamanya Ketua Majlis," ujarnya.




Comments