KEADILAN Bandar Tun Razak nafi individu tular isu Thaipusam ahli parti


KEADILAN Cabang Bandar Tun Razak menafikan individu yang dikaitkan dengan gambar tular berhubung ritual Thaipusam yang tular di media sosial merupakan ahli parti itu atau penduduk kawasan berkenaan.
Ketua Penerangannya, Akhmar Sari Mohd Nazri berkata, pihaknya mengecam perbuatan yang dikaitkan dengan individu terbabit kerana didakwa bercanggah dengan pegangan Islam.
"KEADILAN Bandar Tun Razak tidak pernah menyokong tindakan tersebut," katanya dalam kenyataan media.
Menurut Akhmar Sari, berdasarkan semakan pihaknya, individu berkenaan bukan ahli KEADILAN dan bukan penduduk Bandar Tun Razak seperti yang didakwa sesetengah pihak.

Beliau berkata, gambar individu itu bersama Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail serta tindakannya memegang bendera Pakatan Harapan (PH) tidak bermakna individu berkenaan mewakili pendirian parti.
"Gambar beliau bersama Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail serta tindakannya memegang bendera Pakatan Harapan tidak menjadikannya wakil parti. Kehadirannya sebagai penyokong tidak bermakna KEADILAN menyokong perbuatan peribadinya," katanya.
Sehubungan itu, Akhmar Sari mengingatkan orang ramai supaya tidak menggunakan sekeping gambar untuk mengaitkan sesebuah parti dengan tindakan individu yang tidak mewakili pendirian rasmi parti berkenaan.
Katanya, siasatan terhadap perkara itu perlu diserahkan kepada pihak berkuasa, manakala orang ramai diminta tidak membuat kesimpulan sebelum fakta sebenar disahkan.
"Siasatan hendaklah diserahkan kepada pihak berkuasa dan orang ramai diminta tidak membuat kesimpulan sebelum fakta disahkan," katanya.
Beliau menegaskan KEADILAN Bandar Tun Razak tetap mempertahankan pegangan Islam dan menolak sebarang cubaan memutarbelitkan isu berkenaan demi kepentingan politik.




Comments