Aliff Daniel, ibu ditahan JAIS berhubung kontroversi ritual agama bukan Islam


Lelaki berusia 21 tahun yang mencetuskan kontroversi selepas tindakannya didakwa melakukan ritual agama bukan Islam tular di media sosial ditahan bersama ibunya oleh pihak berkuasa agama, semalam.
Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) mengesahkan penahanan individu dikenali sebagai Aliff Daniel dan ibunya yang berusia 52 tahun itu di Kuala Lumpur.
Pengarah JAIS Datuk Mohd Shahzihan Ahmad berkata tangkapan dilakukan menerusi waran tangkap bersaling yang dikeluarkan Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam dan dilaksanakan oleh Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI).
"Kedua-dua orang yang disyaki kini sedang disiasat oleh JAIS mengikut Seksyen 4 dan 10 Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995," katanya dalam kenyataan.
Menurut Shahzihan, hasil risikan susulan kes berkenaan tular, JAIS dijangka memanggil sekurang-kurangnya 14 individu lain bagi membantu siasatan.
Laporan Kosmo! menyebut Aliff dan ibunya ditahan ketika hadir di pejabat JAWI tengah hari semalam.
Kontroversi itu tercetus selepas tindakan Aliff didakwa melakukan ritual agama bukan Islam menjadi perhatian ramai dan mencetuskan pelbagai reaksi di media sosial.
Perkembangan tersebut membawa kepada siasatan pihak berkuasa agama bagi menentukan sama ada terdapat pelanggaran undang-undang syariah yang terpakai.
Shahzihan berkata, JAIS memandang serius perkara itu dan akan memastikan setiap tindakan diambil berdasarkan bidang kuasa, peruntukan undang-undang serta fakta kes.
"Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat yang belum disahkan, sebaliknya memberikan ruang kepada pihak berkuasa untuk melengkapkan siasatan," katanya.
Kontroversi itu mula mendapat perhatian selepas beberapa rakaman dan hantaran di media sosial mendakwa Aliff terlibat dalam ritual keagamaan Hindu yang dikaitkan dengan sambutan Thaipusam di Batu Caves.
Rakaman berkenaan mencetuskan pelbagai reaksi, khususnya berhubung dakwaan penglibatan seorang individu beragama Islam dalam amalan keagamaan lain.
Susulan penularan rakaman itu, JAIS pada 11 Oktober mengesahkan telah memulakan siasatan mengikut Seksyen 4 dan Seksyen 10 Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995, masing-masing berkaitan perbuatan menunjukkan pemujaan dengan cara yang menyalahi hukum syarak serta perbuatan yang menyebabkan agama Islam dipandang hina.
Bagaimanapun, JAIS ketika itu menegaskan pihaknya belum dapat mengesahkan bahawa perbuatan berkenaan berlaku ketika sambutan Thaipusam di Batu Caves seperti yang didakwa di media sosial.




Comments