top of page

Kemelut dalaman PN: Pas mahu guna logo PN dalam PRN Johor?

  • Writer: Akmal Manaf
    Akmal Manaf
  • 1 hour ago
  • 2 min read

Kemelut yang melanda Perikatan Nasional (PN) menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dilihat bukan sekadar soal strategi pilihanraya, sebaliknya mungkin berkait dengan keperluan mendesak Pas untuk bertanding menggunakan logo PN bagi meningkatkan daya tarikan kepada pengundi.


Ketua Penerangan KEADILAN Johor, Mohd Fakharuddin Moslim berkata, secara realitinya Pas berdepan cabaran untuk meraih sokongan pengundi di negeri berkenaan sekiranya bertanding menggunakan logo 'bulan' parti itu.


"Secara logiknya memang ada kemungkinan Pas mahu menggunakan logo PN dalam PRN Johor kerana logo PN dilihat sebagai pilihan yang boleh membantu mereka meraih undi daripada pengundi yang tidak cenderung kepada Pas, tetapi mungkin mempertimbangkan (mengundi) gabungan tersebut.


Mohd Fakharuddin Moslim
Mohd Fakharuddin Moslim

"Pada masa yang sama, pertikaian mengenai penggunaan logo PN juga memperlihatkan bahawa mereka masih belum mencapai kesepakatan yang kukuh dalam menghadapi pilihanraya.


"Rakyat boleh menilai sendiri bagaimana sebuah gabungan yang sedang bertelagah mengenai identiti dan hala tuju boleh meyakinkan pengundi bahawa mereka mampu menawarkan kestabilan," katanya ketika dihubungi Suara Keadilan hari ini.


Beliau mengulas spekulasi terkini pergolakan dalam PN menjelang PRN Johor mungkin berpunca daripada isu penggunaan logo gabungan itu, memandangkan Pas dikatakan memerlukan jenama PN bagi menarik pengundi yang bukan tradisi mengundi parti itu.


Namun, menurut Mohd Fakharuddin, situasi berbeza dapat dilihat dalam kem Pakatan Harapan (PH) yang kini tampil sebagai gabungan lebih stabil, tersusun dan mempunyai hala tuju yang jelas.


Katanya, kerjasama dalam Kerajaan Perpaduan telah mewujudkan kestabilan politik yang amat diperlukan selepas beberapa tahun negara berdepan ketidaktentuan dan pertukaran kerajaan.


Pada masa sama ujar beliau, PH Johor juga mempunyai asas yang kukuh untuk berdepan PRN menerusi jentera yang tersusun, prestasi pentadbiran yang boleh dinilai rakyat serta sokongan daripada pelbagai segmen pengundi.


"Pelbagai inisiatif kerajaan seperti Sumbangan Tunai Rahmah, MyKasih, SARA, program TVET, bantuan usahawan dan pelbagai program kebajikan turut memberi keyakinan bahawa kerajaan hari ini bukan sekadar berpolitik tetapi bekerja untuk rakyat.


"Sebab itu PH mempunyai potensi yang sangat baik untuk mencatat kemenangan dalam PRN Johor. Ketika PN masih bergelut dengan isu dalaman dan perebutan identiti, PH tampil dengan mesej yang lebih jelas iaitu kestabilan politik, pertumbuhan ekonomi dan agenda pembangunan untuk rakyat Johor.


"Rakyat mahukan sebuah kerajaan yang stabil dan mampu bekerja, bukan gabungan yang masih bertelagah mengenai logo dan pimpinan," kata beliau yang juga Ketua Cabang KEADILAN Tenggara.


Pertelagahan dalam PN boleh dilihat apabila Pengerusi PN semalam telah menggantikan Pengarah Pilihanraya dari Bersatu, Datuk Dr Radzi Jidin dengan pemimpin Pas, Datuk Seri Sanusi Md Noor.


Begitu juga Timbalan Setiausaha Agung PN, Azmin Ali dari Bersatu telah diberhentikan dari perkhidmatan.


Pemerhati politik mendakwa penggantian pemimpin Bersatu dalam PN bermungkinan sebagai langkah awal untuk Pas megawal PN sekaligus menggunakan logo gabungan itu dalam PRN Johor selepas menghentikan kerjasama dengan Bersatu.

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page