top of page

Kembangkan keusahawanan anak muda di Tanjung Bidara, Pengkalan Balak

Writer: Sidiqin Omar
Sidiqin Omar
7 hours ago
2 min read
Yunazri (kiri) ditemui Suara Keadilan sewaktu berkempen dari rumah ke rumah
Yunazri (kiri) ditemui Suara Keadilan sewaktu berkempen dari rumah ke rumah

Potensi sektor pelancongan di Pantai Tanjung Bidara dan Pengkalan Balak perlu dimanfaatkan dengan membuka lebih banyak ruang keusahawanan kepada golongan muda, khususnya menerusi pembangunan kemudahan rekreasi dan kawasan perniagaan berkonsepkan waterfront.


Itu antara perancangan calon HARAPAN bagi DUN Tanjung Bidara, Yunazri Mustamiri, yang mahu melihat kawasan berkenaan berkembang sebagai destinasi pelancongan sekali gus mewujudkan peluang ekonomi kepada penduduk tempatan.


Menurutnya, Pantai Tanjung Bidara mempunyai potensi besar untuk dibangunkan sebagai kawasan tumpuan pelancongan dengan kemudahan lebih tersusun, termasuk medan selera, ruang rekreasi dan lokasi perniagaan seperti pantai Port Dickson.


Yunazri berkata demikian mengulas potensi pembangunan ekonomi setempat selepas mengadakan sesi turun padang dan menyantuni penduduk di beberapa kampung sekitar kawasan Daerah Mengundi (DM) Pasir Gembor, termasuk Taman Bidara Emas.


"Saya melihat Pantai Tanjung Bidara ini mempunyai potensi yang sangat besar seperti di Port Dickson.


"Kawasan ini berpotensi menjadi sebuah waterfront yang mempunyai kemudahan seperti food court, tempat-tempat untuk berekreasi dan sebagainya," katanya ketika ditemui Suara Keadilan.


Beliau berkata, pembangunan kemudahan sedemikian bukan sahaja dapat menarik lebih ramai pengunjung, malah menyediakan peluang kepada anak muda untuk menceburi bidang perniagaan dan keusahawanan.


Menurutnya, keperluan menyediakan ruang riadah dan tempat berkumpul untuk golongan muda turut dikenal pasti hasil pertemuan dengan masyarakat setempat.


Katanya, ramai anak muda yang ditemuinya menyuarakan keperluan mempunyai tempat untuk beriadah dan menghabiskan masa bersama rakan-rakan.


"Ramai anak muda yang kita temui memerlukan sebuah tempat riadah dan tempat untuk mereka berkumpul.


"Jadi, jika saya diberi mandat sebagai ADUN Tanjung Bidara, insya-Allah saya akan cuba mengusahakan kemudahan seperti waterfront untuk memberi ruang kepada orang muda berniaga dan berekreasi, sekali gus memantapkan lagi sektor pelancongan di Tanjung Bidara," katanya lagi.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page