Kemajuan Selangor disokong sektor pendidikan, sosial - Menteri Besar
- Suara Keadilan

- 18 hours ago
- 1 min read

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari menegaskan bahawa kejayaan dan kemajuan negeri Selangor tidak boleh bergantung semata-mata kepada pelaburan.
Sebaliknya menurut beliau, usaha pembangunan perlu dilaksanakan secara lebih menyeluruh disokong pembangunan dalam pelbagai bidang termasuk pendidikan dan kesejahteraan sosial.
"Walaupun sektor ekonomi seperti semikonduktor dan litar bersepadu menjadi antara fokus utama negeri, usaha pembangunan perlu dilaksanakan secara lebih menyeluruh.
"Ia merangkumi pelbagai aspek termasuk pembangunan pelajar, kawalan sempadan, pengurusan perumahan dan isu sosial," katanya dipetik.
Terdahulu beliau melawat Institut Yusof Ishak (ISEAS) di Singapura sempena lawatan rasmi menerusi Program S R Nathan Fellowship.
Program S R Nathan Fellowship diwujudkan bagi menggalakkan pertukaran pandangan serta perkongsian pengalaman antara pemimpin dan pegawai kanan luar negara dengan Singapura dalam pelbagai bidang strategik.
Sepanjang lawatan, Amirudin mengadakan pertemuan dengan beberapa pemimpin republik berkenaan termasuk Menteri Kanan Lee Hsien Loong yang juga bekas Perdana Menteri Singapura.
Beliau turut mengadakan sesi libat urus bersama beberapa agensi selain menerima taklimat berhubung perancangan ekonomi, promosi pelaburan, pembangunan semula bandar dan perancangan bandar.
Sementara itu menurut Amirudin, pengalaman serta pendekatan Singapura boleh dijadikan panduan dalam usaha membangunkan Selangor.
Ia jelasnya memandangkan kedua-duanya mempunyai persamaan dari segi pembangunan bandar dan kepadatan penduduk.




Comments