Kemajuan mesti sampai ke FELDA, tiada rakyat terpinggir bawah PH
- Helmi Mohd Foad

- 1 day ago
- 2 min read

Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan komited memperkukuh pembangunan komuniti FELDA, kawasan luar bandar dan sektor pertanian sebagai agenda utama manifesto Negeri Sembilan Maju 2045 selaras dengan usaha Kerajaan MADANI memastikan kebajikan peneroka terus terbela dan pembangunan dinikmati seluruh rakyat.
Senator Jufitri Joha yang juga Pengerusi PH Rembau berkata pihaknya menyambut baik pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini mengenai tujuh inisiatif strategik bagi memperkukuh kebajikan peneroka dan menjamin masa depan generasi baharu tanah rancangan itu.
"Pengumuman tersebut membuktikan Kerajaan MADANI bukan sekadar menghargai jasa peneroka FELDA yang telah membangunkan negara sejak lebih tujuh dekad lalu malah terus komited memastikan kebajikan mereka dipelihara melalui penyelesaian isu kewangan, pembangunan rumah generasi baharu serta pelbagai inisiatif yang memberi manfaat kepada keluarga peneroka," katanya pada sidang media di Seremban hari ini.
Perdana Menteri ketika Sambutan Hari Peneroka FELDA Ke-70 baru-baru ini mengumumkan tujuh inisiatif strategik bagi memperkukuh kebajikan peneroka termasuk penyelesaian isu kewangan, pembangunan rumah generasi baharu dan pelbagai langkah untuk menjamin masa depan komuniti FELDA.
Jufitri yang juga bekas Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM) berkata, PH Negeri Sembilan percaya komitmen Kerajaan Persekutuan itu perlu diterjemahkan di peringkat negeri menerusi dasar dan tindakan yang saling melengkapi bagi memastikan manfaatnya benar-benar dirasai oleh komuniti FELDA.
"Atas sebab itu, Manifesto PH Negeri Sembilan turut memberi penekanan khusus kepada pembangunan komuniti FELDA, pembangunan luar bandar serta pengukuhan sektor pertanian sebagai antara agenda utama Negeri Sembilan Maju 2045," ujarnya.
Jufitri berkata PH akan bekerjasama rapat dengan Kerajaan Persekutuan dan pihak FELDA bagi memastikan setiap projek yang diumumkan dapat dilaksanakan dengan lancar di Negeri Sembilan.
"Ini termasuk penyediaan kemudahan asas, pembangunan komuniti serta peluang yang lebih baik kepada generasi kedua dan ketiga FELDA," katanya.
Selain memperkasa komuniti FELDA, beliau berkata manifesto PH turut memberi penekanan kepada pembangunan luar bandar menerusi penambahbaikan infrastruktur termasuk jalan raya, bekalan air bersih, capaian Internet berkualiti dan kemudahan awam supaya tiada kawasan yang tercicir daripada arus pembangunan.
Pada masa sama, katanya sektor pertanian akan terus diperkasakan melalui penggunaan teknologi moden, amalan Smart Farming, pembangunan usahawan tani serta Program Petani Muda bagi menarik lebih ramai belia menyertai sektor agromakanan.
Menurut beliau usaha itu bukan sahaja mampu meningkatkan produktiviti dan pendapatan petani, malah penting bagi memperkukuhkan keterjaminan bekalan makanan negeri dan negara.
Mengenai agenda pembangunan yang dibawa PH, Jufitri menegaskan kemajuan tidak seharusnya hanya tertumpu di bandar sebaliknya mesti turut dirasai oleh masyarakat luar bandar, termasuk warga FELDA, petani dan pekebun kecil.
"Pakatan Harapan percaya pembangunan yang sebenar ialah pembangunan yang dirasai oleh semua. Kemajuan tidak boleh hanya tertumpu di bandar-bandar utama.
"Kemajuan mesti sampai ke FELDA. Kemajuan mesti sampai ke kampung. Kemajuan mesti sampai kepada petani, pekebun kecil, penternak dan nelayan. Tiada rakyat yang harus dipinggirkan. Tiada daerah yang harus ketinggalan."
Beliau berkata kesepaduan antara Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri amat penting bagi memastikan segala agenda pembangunan dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.
"Dengan sebuah Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri yang sehaluan serta stabil, agenda pembangunan FELDA, luar bandar dan sektor pertanian dapat dilaksanakan dengan lebih pantas, tersusun dan berkesan demi kesejahteraan seluruh rakyat Negeri Sembilan," ujarnya lagi.



Comments