top of page

Kekuatan KEADILAN bergantung kepada anggota, bukan siapa bersama parti

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 2 hours ago
  • 2 min read

Kekuatan KEADILAN tidak bergantung kepada siapa yang bersama atau meninggalkan parti atau siapa rakan sekutu, sebaliknya berpaksikan kekuatan anggota yang terus setia kepada perjuangan, kata Ketua Wanita KEADILAN, Fadhlina Sidek (gambar).


Beliau berkata, kekuatan sebenar parti dapat dilihat melalui anggota akar umbi yang terus menghidupkan ranting dan cabang, selain sanggup bekerja keras ketika pilihanraya tanpa mengharapkan populariti.


"Kekuatan parti tidak bergantung siapa yang duduk dengan kita.


"Ia bergantung kepada kekuatan kita dalam dewan ini, bukan dengan siapa kita berunding, bukan dengan siapa kita menjadi kerajaan," katanya dalam ucapan penggulungan Ketua Wanita KEADILAN di Kongres KEADILAN 2026 di Melaka, pagi ini.


Menurut Fadhlina, anggota di peringkat akar umbi merupakan nadi sebenar KEADILAN kerana mereka terus bekerja untuk parti dalam apa juga keadaan.


"Orang yang menjaga ranting, menghidupkan cabang, orang mengetuk pintu, memasang bendera, kena maki ketika berkempen, esok datang lagi. Inilah kekuatan KEADILAN," katanya disambut tepukan perwakilan.


Beliau berkata, parti perlu yakin dengan kekuatan sendiri dan tidak terlalu bergantung kepada mana-mana pihak untuk menentukan hala tuju perjuangan.


"Kita sediakan KEADILAN, siapa pun bersama kita, kita kuat. Siapa pun meninggalkan kita, kita kuat.


"Kita ada anggota yang percaya kepada perjuangan," katanya.


Fadhlina berkata, selagi rakyat memberikan mandat kepada KEADILAN untuk mentadbir negara, parti perlu berani membuat keputusan yang betul walaupun keputusan tersebut tidak semestinya paling popular.


"Selagi rakyat beri kita kuasa kita perlu lakukan perkara betul, bukan paling popular," katanya.


Pada masa sama, beliau mengakui KEADILAN bukan sebuah parti yang sempurna dan sentiasa terbuka menerima teguran serta memperbaiki kelemahan.


"Saya tidak katakan keputusan kita sempurna, tidak boleh ditegur. Tegurlah. Kalau ada yang salah kita betulkan. Kalau belum cukup baik kita perbaiki.


"Sebab itu selagi amanah masih berada di tangan kita buatlah yang betul," katanya.


Fadhlina turut menegaskan perjuangan reformasi perlu diteruskan dengan memastikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kekal menerajui kerajaan.


"Reformasi mesti diteruskan dengan memastikan Datuk Seri Anwar kekal sebagai Perdana Menteri (penggal kedua).


"Kita mahu kerja-kerja ini diteruskan, kita mahu reformasi diteruskan, kehidupan rakyat diangkat dan semua itu memerlukan masa, kestabilan dan keberanian politik," katanya.


Beliau berkata, Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang tidak seharusnya hanya dilihat daripada perspektif jumlah kerusi yang mampu dimenangi KEADILAN.


Sebaliknya, katanya, persoalan lebih besar ialah sama ada perubahan dan agenda reformasi yang sedang dilaksanakan kerajaan akan diteruskan atau dihentikan.


"Sebab itu PRU akan datang bukan soal KEADILAN menang berapa kerusi tetapi soal perubahan yang kita jalankan ini diteruskan atau dihentikan," katanya.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page