top of page

Kekalkan subsidi bukti kerajaan prihatin keperluan unik Sabah, Sarawak

  • Writer: Azuan Ab Rahman
    Azuan Ab Rahman
  • 6 days ago
  • 2 min read

Langkah Kerajaan Persekutuan untuk mengekalkan subsidi diesel untuk Sabah dan Sarawak disambut baik Menteri Jabatan Perdana Menteri, Datuk Mustapha Sakmud (gambar).


Jelasnya, meskipun kerajaan melaksanakan penyelarasan sementara subsidi bahan api bagi memastikan pengurusan fiskal negara lebih mampan dalam mendepani ketidaktentuan harga tenaga global, keputusan mengekalkan subsidi di Sabah dan Sarawak penting berdasarkan keunikan geografi serta cabaran infrastruktur yang dihadapi rakyat di kedua-dua wilayah tersebut.


Tambah Ahli Parlimen Sepanggar itu, langkah mengekalkan inisiatif seperti Program BUDI MADANI RON95 (BUDI95) pada kadar RM1.99 seliter dan diesel bersubsidi pada kadar RM2.15 seliter di Sabah dan Sarawak jelas membuktikan Kerajaan MADANI sentiasa peka dan mendengar denyut nadi rakyat di Borneo.


"Keunikan geografi, kos logistik dan cabaran pembangunan di Sabah dan Sarawak diambil kira secara serius dalam setiap keputusan dasar nasional bersesuaian dengan penggunaan diesel yang agak tinggi di kedua-dua negeri.


"Sebarang perubahan dasar berkaitan bahan api memberikan kesan langsung kepada kehidupan harian rakyat serta aktiviti ekonomi setempat


"Setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) atas perhatian yang diberikan terhadap keperluan rakyat Sabah dan Sarawak dalam pelaksanaan dasar ini," katanya dalam kenyataan.


Terdahulu, Pensyarah Pusat Pengajian Ekonomi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof Madya Dr Mustazar Mansur dipetik laporan media berkata, struktur geografi Sabah dan Sarawak yang berbeza berbanding Semenanjung Malaysia serta tahap pendapatan lebih rendah menyebabkan ramai penduduk bergantung pada diesel.


Kebergantungan tinggi terhadap bahan api itu di Sabah dan Sarawak bukan sahaja melibatkan sektor pengangkutan, tetapi turut merangkumi penggunaan generator elektrik, operasi bot bagi aktiviti perikanan dan sebagainya.

Justeru, subsidi diesel yang diteruskan turut membantu mengekalkan kestabilan harga barangan asas memandangkan sebahagian besar bekalan dihantar dari Semenanjung ke Borneo.


Sementara itu, Mustapha dalam kenyataannya berkata, dalam pelaksanaan dasar ditetapkan kerajaan itu, penting untuk semua pihak termasuk pengguna, pengusaha industri dan agensi penguatkuasaan memainkan peranan masing-masing.


Ia bagi memastikan dasar berkenaan berjalan dengan baik dan memberikan manfaat kepada rakyat secara keseluruhan.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page