Tuanku Muhriz disambut NGO di KLIA, Peguam Negara pertikai proklamasi


Kepulangan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir ke tanah air malam ini mencuri perhatian apabila rakyat dan beberapa pertubuhan berkumpul di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) bagi menyambut kepulangan baginda.
Baginda dijadualkan tiba di Terminal 1 KLIA sekitar jam 8.30 malam selepas selesai melakukan perjalanan luar negara.
Sambutan itu berlangsung dalam suasana kemelut mengenai kedudukan Tuanku Muhriz yang semakin memuncak, selepas berlaku percanggahan pendirian antara Kerajaan Negeri Sembilan, Dewan Keadilan dan Undang (DKU) serta Jabatan Peguam Negara (AGC).
Menerusi poster yang tular, orang ramai dan beberapa pertubuhan termasuk Pertubuhan Otai Reformasi Negeri Sembilan (PROFANS), Waris Datuk Siamang Gagap serta Waris Negeri Sembilan dan Pekan diseru berkumpul di Tingkat Lima, Terminal 1 KLIA bagi menyambut kepulangan baginda.
Lebih mengejutkan, pada hari ini, AGC mengeluarkan pendirian bahawa Proklamasi bertarikh 19 April 2026 berhubung kedudukan Tuanku Muhriz adalah tidak sah kerana tidak mematuhi kehendak mandatori Perkara 10 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 (UUTKNS).
AGC turut menegaskan bahawa tiada keterangan menunjukkan mana-mana faktor hilang kelayakan yang dinyatakan dalam Perkara 10(1) UUTKNS terpakai kepada Tuanku Muhriz.
Lebih penting, AGC berpandangan Menteri Besar dan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMK) tidak mempunyai kuasa secara unilateral untuk menamatkan atau mengosongkan jawatan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.
Menurut AGC, kesahan serta kesan proklamasi berkenaan perlu ditentukan menerusi proses perlembagaan dan undang-undang yang sah.
Pendirian itu hadir beberapa jam selepas Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim mengesahkan bahawa proklamasi berhubung penurunan takhta Tuanku Muhriz telah dibincangkan dan diputuskan secara sebulat suara oleh semua ahli Exco dalam mesyuarat pada 15 September lalu.
Ismail turut mengesahkan proses pewartaan proklamasi itu telah diminta diteruskan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri mengikut peraturan sedia ada.
Namun, DKU pada hari sama sekali lagi menegaskan bahawa Tuanku Muhriz kekal sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan yang sah.
Setiausaha DKU, Raja Norazli Raja Nordin berkata, tiada kekosongan jawatan dan tiada pengganti selagi jawatan tersebut masih dipegang secara sah oleh baginda.
DKU turut menegaskan bahawa persoalan berkaitan pemilihan, pelantikan, peletakan dan pemecatan Yang di-Pertuan Besar serta Undang berada dalam bidang kuasa Dewan berkenaan berdasarkan Perkara XVI UUTKNS 1959.
Kemelut itu menjadikan kepulangan Tuanku Muhriz malam ini bukan sekadar kepulangan daripada perjalanan luar negara, sebaliknya berlaku ketika pertikaian mengenai kedudukan baginda kini memasuki satu lagi fasa penting.
Dengan pendirian AGC, DKU dan Kerajaan Negeri yang berbeza mengenai kesahan Proklamasi 19 April, persoalan mengenai kedudukan Tuanku Muhriz kini terus menjadi tumpuan, khususnya dari sudut perlembagaan, undang-undang dan adat Negeri Sembilan.



Comments