top of page

Berkongsi cabaran politik era pascanormal bersama MP Bangladesh - Dr Maszlee

Writer: Redzuan Shamsudin
Redzuan Shamsudin
4 minutes ago
2 min read
Dr Maszlee bersama Ahli Parlimen Bangladesh yang melakukan lawatan kerja ke Malaysia
Dr Maszlee bersama Ahli Parlimen Bangladesh yang melakukan lawatan kerja ke Malaysia

Pengerusi Biro Hal Ehwal Antarabangsa KEADILAN, Dr Maszlee Malik berpeluang berkongsi pandangan mengenai cabaran yang dihadapi parti politik berorientasikan reformasi di seluruh dunia bersama Ahli Parlimen (MP) daripada Jamaat-e-Islami, Bangladesh.


Maszlee berkata, beliau menerima kunjungan Ahli Parlimen berkenaan sempena lawatan pendidikan mereka ke Malaysia.


"Satu penghormatan besar bagi saya apabila berpeluang menerima kunjungan Ahli Parlimen daripada Jamaat-e-Islami sebagai tetamu sempena lawatan pendidikan mereka ke Malaysia," katanya dalam satu kenyataan.


Mewakili Biro Hal Ehwal Antarabangsa KEADILAN dan IAIS Malaysia, katanya, beliau berkongsi pandangan mengenai cabaran politik semasa pada pertemuan itu.


"Saya berbesar hati berkongsi beberapa pandangan mengenai cabaran yang dihadapi parti-parti politik berorientasikan reformasi di seluruh dunia dalam era pascanormal yang kita lalui pada hari ini," katanya.

Dr Maszlee memberi penerangan
Dr Maszlee memberi penerangan

Ahli Dewan Undangan Negeri Puteri Wangsa itu berkata, perkongsian tersebut turut berpandukan teori zaman pascanormal yang diketengahkan Profesor Ziauddin Sardar.


"Saya cuba menekankan kepada Ahli-Ahli Yang Berhormat bahawa ahli Parlimen pada era ini tidak lagi boleh berperilaku seperti mana ahli politik pada zaman terdahulu," ujarnya.


Beliau berkata, antara nilai yang perlu diberi perhatian oleh Ahli Parlimen ketika ini ialah ketelusan, keaslian, integriti, kebertanggungjawaban dan kesediaan mendengar suara rakyat.


Dalam pada itu, Maszlee berkata beliau turut berpeluang mempelajari pelbagai perkara daripada Ahli Parlimen Bangladesh yang berkunjung ke Malaysia, khususnya mereka yang mempunyai pengalaman berkhidmat di Parlimen negara berkenaan.


Menurutnya, sebahagian daripada mereka mendapat pendidikan di Barat, manakala sebahagian yang lain membina pengalaman dan kepimpinan daripada akar umbi masyarakat.


"Sebahagian daripada mereka mendapat pendidikan di Barat, manakala ramai lagi membina pengalaman dan kepimpinan daripada akar umbi masyarakat," katanya.


Maszlee turut berkata Jamaat-e-Islami mempunyai jaringan profesional dan ahli akademik, selain berharap Ahli Parlimen berkenaan memperoleh pengalaman bermakna sepanjang berada di Malaysia.


"Jamaat-e-Islami sememangnya dikenali dengan jaringan profesional dan ahli akademiknya. Saya amat berharap Ahli-Ahli Yang Berhormat berkenaan memperoleh pengalaman yang bermakna sepanjang berada di Malaysia dan membawa pulang manfaat tersebut ke tanah air mereka," katanya lagi.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page