Gagal tumbang kerajaan Sabah ulangi kegagalan Jerman takluki Rusia?

Updated: Aug 8


Oleh: Mohd Ridzuan Md Haron

Kempen meruntuhkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang dilakukan oleh watak-watak si Kitol ahli politik Perikatan Nasional (PN) boleh disamakan seperti kemaraan Reich Ketiga Jerman menakluki Eropah dalam Perang Dunia Kedua.


Jerman memulakan perang pada 1939 apabila melanggar Poland. Kehebatan senjata Jerman ditandai rifal Sturmgewehr 44, kapal terbang tempur Luftwaffe, kereta kebal Panzer dan kapal selam U-boat menyebabkan sesebuah negara boleh ditawan dalam tempoh hanya sebulan. Menjelang 1941, Jerman berjaya menguasai Denmark, Austria, Switzerland, Finland, Norway, Belanda, Belgium, Sepanyol, Perancis dan banyak lagi. Kempen Jerman hanya diperlahankan sewaktu menyeberangi selat Inggeris untuk menguasai Great Britain.


Kemaraan ‘salji runtuh’


Di Malaysia, PN pula amat hebat ketika memulakan kempen melenyapkan pengaruh PH. PN bermula dengan menumbangkan kerajaan PH Johor pada bulan Februari, kemudian menumbangkan kerajaan pusat PH pada 1 Mac 2020. Selepas itu kemaraan PN seperti salji runtuh menguasai Melaka, Perak dan Kedah. Kehebatan PN berpaksi kepada bekalan dana yang melimpah ruah. Mereka juga merasuah para Ahli Parlimen dengan melantik ke jawatan pengerusi Syarikat-syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC). ADUN-ADUN di peringkat negeri pula dibeli, melibatkan wang dan janji projek. Tiada kuasa mampu menyekat kemaraan PN dalam masa 6 bulan, menyebabkan sekutu Tun Mahathir dan anggota PH kecut perut malah ada yang terpaksa berkhianat.


Bagaimanapun, dalam sejarah perang, sehebat-hebat angkatan tentera Jerman, mereka tersekat apabila salah percaturan menyerang Rusia pada 1941. Jerman menganggap Rusia memilikki ketenteraan yang ketinggalan zaman.


Kesukaran berperang dengan Finland pada 1939 apabila negara itu mampu menewaskan Rusia selama lebih kurang dua bulan pada peringkat awal peperangan menjadi hujah para jenderal Jerman bahawa Rusia boleh dikuasai dengan mudah. Diktator Adolf Hitler menamakan operasi serangan ke atas Rusia sebagai Barbarossa, operasi perang terbesar di dunia mengumpulkan 4.5 juta anggota tentera infantri dan kelengkapan perang paling moden pada zamannya.


Serangan awal Jerman seperti dirancang, tidak mampu dihalang oleh Rusia. Tentera Jerman mara jauh ke dalam wilayah Rusia dari tiga arah. Kemaraan dari Utara menuju ke bandar Leningrad. Kemaraan pasukan tengah ke arah ibu negara Moscow dan kemaraan divisyen Selatan menuju ke bandar Stalingrad untuk menguasai wilayah Kaukasus yang kaya petroleum.


Dalam 2 bulan, Jerman menguasai Ukraine, Latvia, Lithuania dan wilayah selatan Kaukasus ke arah Stalingrad. Namun para jeneral Hitler terbukti salah perhitungan apabila muka bumi Rusia yang berlumpur menyebabkan banyak kenderaan tempur Jerman rosak dan melambatkan kemaraan.


Semangat melawan rakyat Rusia juga amat luar biasa. Mereka lebih rela mati daripada dijajah. Menjelang 1943 tentera Jerman menguasai 1/3 wilayah Rusia tetapi kehilangan hampir setengah juta anggota tentera. Peralatan perang banyak yang musnah. Apatah lagi memasuki perang musim dingin dengan bekalan makanan serta ubat-ubatan sukar dibawa masuk akibat kekurangan logistik.


Pada 1943 tentera Jerman dikalahkan dalam misi menawan Moscow. Mereka juga kalah dalam pertempuran kereta kebal terbesar sepanjang Perang Dunia Kedua di wilayah Kursk. Hampir seribu kereta kebal Jerman hancur. Kekalahan itu menyebabkan Jerman meninggalkan Rusia pada 30 Ogos 1943. Dan untuk 2 tahun selepas itu mereka dikejar oleh tentera Rusia di wilayah Ukraine, Belarus, Czech, Yugoslavia, Bulgaria, Poland dan terakhir pada April 1945, tentera Rusia menawan Jerman Timur.


Kerajaan Warisan lemah


Peristiwa hampir sama berlaku di Sabah pada 30 Julai lalu. Serangan ke atas Sabah dilakukan dengan perkiraan salah bahawa kerajaan Warisan lemah selepas percubaan Tun Mahathir mengambilalih Kerajaan Persekutuan di Putrajaya pada bulan Jun gagal. Bekas Ketua Menteri, Musa Aman diberi tangungjawab memujuk ADUN-ADUN Sabah agar berpaling tadah. Pada peringkat awal kedudukan Ketua Menteri Datuk Seri Shafie Apdal kukuh apabila hanya 2 orang ADUN UPKO yang keluar parti pada 15 Jun. Warisan memiliki kelebihan 13 ADUN yang diyakini kesetiaan mereka untuk mempertahankan kerajaan.


Namun dengan senjata baharu yang dibawa masuk berupa dana berpuluh juta ringgit sebagaimana didakwa oleh team Shafie yang cuba dirasuah, 13 ADUN tersebut berjaya dibeli. Menjelang 30 Julai kerajaan Warisan telah kehilangan majoriti. Musa mendakwa berjaya mendapatkan sokongan 33 ADUN melalui Akaun Berkanun (SD), majoriti satu kerusi berbanding Shafie. Namun perancangan Musa menerima kejutan kerana mengabaikan kekuatan semangat ahli politik Sabah.


Arahan Kuala Lumpur


Ketua-ketua negeri lain membenarkan kerajaan baharu dibentuk apabila menerima isyarat dari perdana menteri. Namun tidak Yang Di-Pertua Sabah Tuan Yang Terutama Tun Juhar Mahiruddin  yang tidak tunduk kepada tekanan Kuala Lumpur. Beliau menutup pintu kepada usaha Musa mempersembahkan majoriti secara ‘pintu belakang’, sebaliknya mengikuti nasihat Shafie agar membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN). Akibatnya DUN Sabah dibubar pada pagi 30 Julai dan rampasan kuasa gagal.


Realiti selepas pembubaran tentulah menyukarkan Umno dan sekutunya di Negeri Di Bawah Bayu kerana terpaksa menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) dengan persempadanan semula kawasan pilihan raya pada 2019, melibatkan pertambahan 13 kawasan berbanding 60 kerusi sebelumnya. Seandainya persempadanan itu memihak kepada Warisan maka tidak mustahil parti Shafie akan menang dengan kelebihan 15 - 20 kerusi dan dianggotai para ADUN yang tidak lagi boleh dibeli.


Tsunami politik Sabah


Sekiranya PN kalah dalam PRN kelak maka kesan tsunami politik pasti merebak ke Sarawak. Pengundi Malaysia Timur akan mempunyai cogankata baharu, iaitu tolak ‘politik katak’ dari Semenanjung.


Politik Sarawak yang telah diwarnai ahli-ahli politik katak dalam kalangan KEADILAN mungkin dilanda tsunami popular rakyat menolak PN. Kesannya parti pemerintah Gabungan Politik Sarawak (GPS) dijangka kehilangan banyak kerusi. Atau sekiranya GPS gerun maka mereka mungkin bergabung dengan PH membentuk Kerajaan Persekutuan baharu seusai PRN Sabah.


Sebaik sahaja kemaraan PN dengan dana yang besar berjaya disekat maka perjalanan di hadapan adalah kekalahan. Apabila kuasa wang tidak berjaya membeli maruah maka takdir berikutnya pula kuasa maruah akan mengalahkan wang ringgit. Hal ini adalah ulangan berkali-kali dalam sejarah peperangan dunia, apabila kuasa besar tentera berjaya disekat oleh sebuah negara kecil maka sesebuah empayah berisiko tumbang.


Apa pun tabik hormat kepada ahli politik dan rakyat Sabah yang tidak menyerah kalah kepada PN yang berusaha menodai mandat sah memerintah melalui jalan belakang.


Semoga PN dan BN akan kalah teruk di tangan rakyat Sabah pada PRN yang akan diadakan dalam masa dua bulan dari sekarang.

__________________________________________________________________________________


Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan bukannya pendirian rasmi Suara Keadilan


PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikut Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
  • radio