top of page

Kekal subsidi RON95 di tengah perang Asia Barat bukti keprihatinan PM

  • Writer: Helmi Mohd Foad
    Helmi Mohd Foad
  • 2 hours ago
  • 2 min read

Jaminan Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa kerajaan berusaha sedaya mungkin mengekalkan harga petrol RON95 bersubsidi ketika harga bahan bakar melambung naik ekoran krisis Asia Barat menunjukkan kebajikan rakyat menjadi keutamaan beliau.


Ketua Penerangan KEADILAN Perak, Azam Afandi berkata mesej paling besar dalam kenyataan Perdana Menteri pada pagi tadi ialah kerajaan bukan sekadar melihat isu petrol sebagai angka ekonomi sebaliknya sebagai isu yang menyentuh kehidupan harian rakyat


"Saya menekuni penuh kenyataan Datuk Seri Anwar Ibrahim... kerajaan akan berusaha sedaya mungkin mengekalkan harga RON95 pada paras RM1.99 seliter agar tidak terus membebankan rakyat.


"Pendirian kerajaan ini membuktikan bahawa dalam apa jua keadaan, kebajikan rakyat tetap menjadi keutamaan utama Kerajaan MADANI," katanya dalam hantaran di Facebook.


Laporan media antarabangsa menyebut harga minyak dunia telah melepasi AS$100 setong buat kali pertama dalam tempoh lebih tiga setengah tahun susulan konflik perang Iran yang menjejaskan pengeluaran serta penghantaran minyak di Asia Barat.


Harga Brent crude, penanda aras antarabangsa, mencecah AS$101.19 setong, meningkat 9.2 peratus berbanding harga penutup AS$92.69 pada Jumaat.

 Azam Afandi
 Azam Afandi

West Texas Intermediate (WTI), minyak mentah ringan yang dihasilkan di Amerika Syarikat didagangkan sekitar AS$107.06 setong iaitu 16.2 peratus lebih tinggi berbanding harga penutup AS$90.90 pada Jumaat.


Kerajaan Malaysia pula telah menaikkan harga runcit petrol RON97, RON95 dan diesel bagi tempoh 5 Mac hingga 11 Mac depan susulan kenaikan harga minyak global.


Harga petrol RON97 meningkat 10 sen kepada RM3.25 seliter manakala RON95 tanpa subsidi naik 8 sen kepada RM2.67 seliter.


Bagaimanapun, RON95 bersubsidi di bawah skim BUDI95 kekal pada harga RM1.99 seliter.


Harga diesel di Semenanjung Malaysia pula meningkat 8 sen kepada RM3.12 seliter manakala harga di Sabah, Sarawak dan Labuan kekal RM2.15 seliter.


Jelas Azam, ketika dunia berdepan kenaikan harga Brent dan ketegangan serantau yang berpotensi mengganggu laluan tenaga global seperti Selat Hormuz, kerajaan masih berikhtiar mempertahankan kestabilan harga bahan api domestik melalui pendekatan subsidi bersasar dan pengurusan fiskal yang berhemah.


Dalam hal ini katanya, kerajaan tidak sekadar isu petrol malah turut menyentuh nasib kehidupan harian rakyat, bermula daripada kos pengangkutan, perbelanjaan isi rumah, harga barangan asas hinggalah kepada keyakinan rakyat terhadap kestabilan ekonomi negara.


"Inilah wajah kepimpinan yang bertanggungjawab, memahami realiti rakyat sambil berdepan cabaran ekonomi global dengan tenang dan berstrategi," ujarnya.


Sementara itu, beliau menyifatkan nasihat Perdana Menteri agar rakyat merancang perbelanjaan dan mengamalkan sikap perbelanjaan berhemah sebagai satu seruan yang tepat dan matang.


Dalam suasana ekonomi dunia yang tidak menentu, keprihatinan kerajaan perlu disambut dengan disiplin dan kebijaksanaan rakyat dalam mengurus kewangan masing-masing, katanya.


Tambah beliau, rakyat wajar melihat kenyataan tersebut sebagai bukti bahawa kerajaan sedang bekerja keras untuk mengekalkan keseimbangan antara tanggungjawab fiskal negara dan keperluan rakyat.


"Kita tidak boleh membiarkan propaganda atau persepsi sempit menenggelamkan hakikat bahawa usaha mempertahankan harga RON95 pada kadar RM1.99 dalam keadaan pasaran global yang semakin mencabar adalah satu komitmen besar yang menuntut kesungguhan politik, kecekapan pentadbiran dan keberanian membuat keputusan.


"Saya menyeru rakyat untuk terus memberi keyakinan kepada usaha kerajaan kerana pendekatan ini jelas memperlihatkan Kerajaan MADANI tidak meminggirkan rakyat sebaliknya terus berikhtiar memastikan kestabilan kos sara hidup dapat dipertahankan sebaik mungkin," ujarnya.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page