Kekacauan politik: Krisis di N Sembilan dirancang untuk ambil alih kuasa?
- Helmi Mohd Foad

- 1 day ago
- 3 min read

ULASAN: Krisis politik yang membawa kepada pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan awal bulan lalu bukan berpunca daripada kegagalan pentadbiran, kelembapan ekonomi atau masalah pembangunan, sebaliknya merupakan manifestasi strategi "politics of chaos" yang sengaja diwujudkan bagi mencetuskan ketidakstabilan politik untuk merebut kuasa.
Dalam satu analisis yang dikongsikan menerusi infografik bertajuk "Politics of Chaos: Cipta Krisis Untuk Kuasa", seorang aktivis kesihatan awam mendedahkan bahawa terdapat usaha sistematik oleh beberapa aktor politik untuk membina persepsi bahawa negeri itu sedang berdepan krisis besar sehingga memerlukan perubahan kerajaan.
Dr Zainal Omar di akaun Facebooknya berpendapat "huru-hara politik" merujuk kepada strategi yang menggunakan ketidakstabilan, kekeliruan dan keruntuhan sistemik itu merupakan senjata untuk melemahkan institusi demokrasi serta mengukuhkan pengaruh politik.
Memetik konsep "Strategic Destabilization", beliau menjelaskan ia merupakan tindakan pihak tertentu yang didakwa mahu membangkitkan atau memperbesarkan krisis budaya, institusi dan politik.
Krisis terkait institusi raja
Krisis politik Negeri Sembilan mula memuncak pada awal tahun ini apabila beberapa isu berkaitan institusi Raja Melayu, adat Perpatih serta pertikaian politik dijadikan polemik terbuka sehingga mencetuskan ketegangan dalam landskap politik negeri.
Perdebatan itu kemudiannya berkembang menjadi pertikaian lebih besar melibatkan kedudukan kerajaan negeri, dakwaan kehilangan legitimasi pentadbiran serta tuntutan supaya mandat baharu dikembalikan kepada rakyat.
Dalam suasana politik yang semakin tidak menentu, Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun akhirnya mengumumkan pembubaran Dewan Undangan Negeri pada 4 Jun lalu, sekali gus membuka laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.
Walaupun pembangkang berhujah pembubaran DUN perlu dilakukan bagi menyelesaikan kemelut politik, kerajaan negeri pula menegaskan langkah itu diambil bagi membolehkan rakyat menentukan semula mandat pentadbiran menerusi proses demokrasi.
Perlu tukar kerajaan
Mengulas perkembangan itu, Zainal mendakwa pelbagai naratif telah dibina bagi meyakinkan rakyat bahawa Negeri Sembilan sedang mengalami krisis yang memerlukan pertukaran kerajaan.

Menurut beliau, naratif tersebut tidak tertumpu kepada isu ekonomi atau pencapaian pembangunan negeri, sebaliknya memberi penekanan kepada konflik institusi, identiti politik dan sentimen kaum.
Dalam infografik berkenaan, beliau mengaitkan tiga kelompok tokoh politik yang didakwa memainkan peranan dalam pembentukan naratif tersebut.
Beliau mendakwa pemimpin Perikatan Nasional (PN) dan Umno negeri memainkan naratif mengenai krisis adat dan institusi beraja sehingga konflik luar biasa yang membabitkan institusi Raja dan adat dilihat mencetuskan kemelut politik serta perlembagaan di negeri itu.
Selain itu, beliau turut mendakwa Ketua Pembangkang Datuk Seri Hamzah Zainudin bersama Pas membina persepsi bahawa kerajaan negeri berada dalam keadaan lemah dan hilang hala tuju melalui naratif "RESET", termasuk dakwaan mengenai "kerajaan lemah", "tiada hala tuju" serta "krisis politik" bagi mengukuhkan tuntutan supaya berlaku perubahan kuasa.
Isu ketuanan Melayu
Terdapat juga pemimpin Umno yang memainkan naratif "Ketuanan Melayu" sebagai instrumen politik yang berkesan khususnya di kawasan luar bandar.
Naratif tersebut mengaitkan isu ketuanan bukan lagi sekadar mengenai hak istimewa orang Melayu tetapi diperluaskan kepada isu perlembagaan, institusi Raja-Raja Melayu, perebutan kuasa dalam gabungan politik serta persaingan ideologi.
Zainal mendakwa BN meletakkan dirinya sebagai "penjaga" institusi Raja dan adat manakala Pakatan Harapan digambarkan sebagai pihak yang mengancam institusi tersebut.
Politik berasaskan konflik
Zainal yang juga Pengerusi Volunteers For Community Engagement and Empowerment For Malaysia berpandangan budaya politik yang berasaskan konflik akhirnya memberi kesan paling besar kepada rakyat.
Dakwa beliau, apabila pertikaian politik dijadikan strategi utama untuk mendapatkan kuasa, rakyat menjadi mangsa keadaan apabila perhatian terhadap agenda pembangunan, pelaburan, peluang pekerjaan dan kebajikan terjejas. Politik berasaskan penciptaan krisis juga akan memanjangkan ketidaktentuan, menjejaskan keyakinan pelabur serta mengalihkan perhatian kerajaan daripada usaha meningkatkan kesejahteraan rakyat.
Bagi Zainal, apa yang berlaku di Negeri Sembilan perlu dijadikan iktibar bahawa politik yang berteraskan persepsi krisis dan konflik berpanjangan akhirnya hanya menguntungkan pihak yang ingin mendapatkan kuasa.
Sedangkan, dakwanya rakyat terpaksa menanggung kesan daripada ketidakstabilan tersebut.




Comments