Kek Ekonomi: Adakah Melayu Telah Terbela?



Oleh: Mohamad Ali Abdullah


ULASAN: Amanah Saham Bumiputera (ASB), telah menjelaskan dengan sendiri siapa pemiliknya. Dari data di atas, adakah kita telah faham dan sedar bagaimana kedudukan orang Melayu dari sudut kuasa menyimpan dan pemilikan ekuiti Bumiputera dalam perniagaan di negara kita.


Jumlah saham yang dimiliki oleh pemegang unit ASB adalah RM181.77 bilion. Seramai 10.36 juta orang menjadi pemilik unit dalam ASB. Anggaran penduduk Bumiputera adalah seramai 18.5 juta orang dan dari jumlah tersebut lebih kurang 13.5 juta orang adalah berumur 18 tahun dan ke atas. Ini juga bermaksud lebih 3 juta orang memang tidak mampu untuk membeli dan mengekalkan pegangan mereka dalam ASB. Ada 25% yang berumur 18 tahun dan ke atas memerlukan pendekatan yang kemas dari pihak Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) untuk membela secara langsung kumpulan ini.


Pemegang saham kurang RM5,000


Kini bilangan pemegang saham paling ramai adalah dalam kumpulan pemilikan unit kurang dari RM5,000 iaitu seramai 7.8 juta orang dan memiliki RM4.88 bilion dengan purata pegangan saham RM626. Kumpulan ini mungkin tidak mempedulikan apa-apa perkembangan tentang keadaan ekonomi negara, sebagaimana bilangan 3 juta orang yang tidak mempunyai sebarang unit dalam ASB.


Secara kasarnya mereka yang berada dalam kumpulan ini mungkin dalam kumpulan B40 . Bilangan 7.8 juta ini juga adalah lebih kurang 42% dari penduduk Bumiputera di Malaysia. Apakah mereka tidak bersedia untuk meningkatkan pelaburan kepada purata sebanyak RM5,000 atau menjadikan nilai saham terkumpul sebanyak RM35 bilion? Jika mereka sudah bersedia, apakah pihak kerajaan juga mampu untuk melakukan pelaburan besar bagi mengukuhkan jaminan keuntungan tahunan yang terbaik.

Mohamad Ali Abdullah

Hal ini juga merupakan dilema kumpulan 7.8 juta orang ini dan mungkin juga dilema di pihak kerajaan. Jika kerajaan berniat ikhlas, mereka yang berada dalam kumpulan ini perlu dibantu untuk meningkatkan purata pegangan dari RM626 kepada satu nilai yang lebih tinggi dan lebih laju dari kenaikan kos hidup harian. Jika tidak mereka ini akan terus berada dalam putaran kemiskinan dan kita tidak dapat bayangkan bagaimana mereka ini mahu berdepan dengan cabaran pertambahan penduduk dengan sumber yang semakin terhad.


Tingkatkan pegangan saham golongan sederhana


Kumpulan kedua yang dianggap ramai adalah kumpulan yang memiliki nilai saham antara 5,000 hingga 200,000. 3 sub-kumpulan dalam kumpulan ini adalah seramai 2.31 juta orang dengan jumlah pegangan saham berjumlah RM80.88 bilion. Kumpulan ini pada dasarnya mungkin mereka yang berada dalam kumpulan M40.


Purata pemilikan saham untuk kumpulan ini adalah seperti di dalam jadual. Mereka yang memiliki saham antara 5,000-50,000, hanya memiliki purata saham sebanyak RM7,176 dan RM23,296. Tetapi kumpulan ini kebanyakannya adalah kumpulan mereka yang melabur dengan wang sendiri tanpa membuat sebarang pinjaman.


Jika melihat kepada purata tersebut, contohnya yang dalam kumpulan 10,000 -50,000, nilai puratanya adalah RM23,296 menunjukan lebih dari separuh atau lebih kurang 500,000 orang memiliki saham kurang dari RM25,000. Kita boleh berbangga dengan mereka ini yang sanggup berkorban menyimpan dalam ASB untuk menunjukan semangat patriot yang tinggi. Cuma kini dengan nilai RM25,000 mereka masih tidak mampu untuk membeli sebuah kereta baru dan jauh sekali untuk memiliki sebuah rumah kediaman yang selesa untuk sebuah keluarga.


Satu lagi sub-kumpulan adalah kumpulan yang memiliki saham RM50,000- 200,000. Seramai 793 ribu orang berada dalam kumpulan ini atau 4.29% dari penduduk Bumiputera. Purata pemilikan saham adalah RM67,213 seorang. Kemungkinan besar mereka yang berada dalam kumpulan sebahagian kecilnya adalah meminjam dari bank untuk melabur, ini adalah sifat berani dan peka terhadap masa depan.


Kumpulan ini memiliki saham sejumlah RM53.3 bilion. Purata saham yang dimiliki iaitu RM67,213 juga jelas menunjukan bahawa 400,000 orang memiliki saham kurang dari RM100,000. Pihak ASNB perlu meneliti kumpulan ini untuk meningkatkan jumlah pelaburan di kalangan Bumiputera.


Kumpulan lower T20 milik unit saham besar


Pemilik saham dalam kumpulan ini kebanyakannya adalah di dalam kumpulan M60 - M70 atau kumpulan lower T20. Kumpulan ini adalah kumpulan yang peka terhadap nilai pulangan tahunan saham dan amat sensitif terhadap keadaan ekonomi negara.


Pihak kerajaan sepatutnya menghargai kumpulan ini dan perlu benar-benar jujur untuk mengangkat lebih ramai Bumiputera menguasai unit dalam ASB. Pihak bank yang mengeluarkan pinjaman kepada wira Bumiputera ini sepatutnya berterima kasih kepada mereka kerana menyumbang kepada keuntungan yang dinikmati oleh pihak bank dan pihak bank memberi cukai yang banyak kepada kerajaan.


Kerajaan sepatutnya mengembalikan kepada mereka sesuatu yang lebih besar kerana pengorbanan membela nasib bangsa dan negara sebagai menyahut cabaran dari pihak kerajaan. Maka kerajaan atau Tun Mahathir tidak sepatutnya dengan mudah menganggap bahawa “Melayu itu malas”


Kumpulan ketiga adalah kumpulan yang memiliki saham melebihi RM200,000 hingga melebihi RM1 juta. Kumpulan ini adalah seramai 251,838 orang yang memiliki saham bernilai RM96 bilion. Jika dilihat purata pemilikan saham dari jadual di atas, iaitu RM326,000 dan RM815,000, jelas menunjukkan mereka ini adalah pelabur yang setia dan lama dalam ASB.


Mungkin sebilangan besar dari mereka adalah mereka yang telah bersara dari perkhidmatan, atau mereka yang dalam industri kecil dan sederhana. Semangat menyimpan mereka yang tinggi menjadikan kumpulan kecil ini sebagai pemangkin kepada keluarga mereka untuk membina masa depan yang lebih baik.


Perkasakan Bumiputera teratas miliki unit ASB


Kumpulan ini hanya 1.36% dari penduduk Bumiputera atau 13,600 orang dari 1 juta penduduk Bumiputera. Bilangan ini mungkin dianggap tinggi dari kumpulan dalam jadual, tapi kita tidak pasti adakah ini sebenarnya yang disasarkan oleh pihak kerajaan untuk membantu Bumiputera.


Memang menjadi fenomena tentang Masyarakat Menengah Melayu yang diharapkan oleh kerajaan di tahun 1980an dulu, sebagaimana buku yang ditulis oleh Dr Nordin Selat. Adakah 1.36% ini sasaran kerajaan setelah 52 tahun berlalunya permulaan DEB?


Kerajaan sepatutnya obsess kepada matlamat yang lebih besar dan lebih memfokuskan kepada kumpulan ini sebagai pencetus kepada kebangkitan ekonomi Bumiputera pasca Covid 19. Mereka yang di dalam kumpulan ini patut diberi ruang yang lebih besar untuk mereka memasuki pintu gerbang ekonomi Bumiputera yang bermaruah.


Mereka di dalam kumpulan ini sangat mampu menunjukan hala tuju yang tepat kepada kumpulan Bumiputera dan kejayaan mereka, bukti mereka sentiasa tidak meminggirkan kehendak kerajaan untuk meningkatkan pemilikan Bumiputera dalam ekuiti perniagaan dalam negara.


Jika nilai pelaburan ASB ini dijadikan sandaran kepada pemilikan ekuiti Bumiputera, diandaikan jumlah nilai saham perniagaan di Malaysia adalah RM1 trilion, maka kita hanya memiliki 18.1% sahaja dalam pemilikan saham perniagaan di negara ini.


Pemilikan saham statik sejak 1990an


Maksudnya nilai ini tidak bergerak sejak 1990 setelah 32 tahun berlalu. Kita tidak boleh berbangga dengan kedudukan begini. Memang ada pemilikan langsung beberapa orang usahawan Bumiputera dalam saham syarikat besar negara, tetapi bilangan mereka mungkin sekitar 10,000 orang atau 0.054% dari penduduk Bumiputera. Dan mungkin mereka ini memiliki sekitar RM10 bilion dari kekayaan negara.


Tan Sri Syed Mokhtar di bidang kejuruteraan dan hartanah adalah orang ke18 terkaya di Malaysia memiliki kekayaan sekitar RM4.8 bilion, Tan Sri Syed Azman Syed Ibrahim di bidang penerbangan adalah orang yang ke 32 terkaya di Malaysia dengan pemilikan kekayaan RM2.2 bilion serta Tan Sri Azman Hashim di bidang perbankan adalah orang yang ke 40 terkaya di Malaysia memiliki kekayaan RM1.7 bilion. Tan Sri Syed Mokhtar contohnya berpeluang mengambil alih Pernas International melalui proses ambil alih syarikat Ambang Budi Sdn. Bhd yang memang memiliki banyak hartanah berbentuk hotel di merta tempat di dunia.


B40 seolah olah tiada pembelaan


Dari keterangan di atas kita sepatutnya sedar dan tidak leka dengan slogan kerajaan Melayu Islam yang berterusan dilaungkan kepada orang Melayu, tetapi hakikatnya 7.8 juta atau 40% dari orang Melayu berada dalam kumpulan B40 seolah-olah tiada pembelaan daripada dasar-dasar kerajaan melainkan bantuan berbentuk tunai sekitar RM1,000 hingga RM2,000 setahun.


Kita mesti sedar bahawa bilangan ini akan bertambah lebih cepat selepas ini jika tiada usaha yang dilaksanakan oleh pihak kerajaan bagi meningkatkan keupayaan menyimpan di kalangan rakyat. Dasar kerajaan juga tidak mungkin menjadi bermakna jika hanya mengambil sebahagian dari yang dimiliki oleh kumpulan menengah untuk mengangkat kumpulan B40. Kerajaan tidak patut mengambil jalan mudah, malah mesti mempastikan agar yang dikendung tidak keciciran dan yang dikejar perlu didapatkan.


Kita juga perlu membuat perbandingan yang betul mengikut masa nilai ringgit pada tahun 1980an berbanding nilai semasa, kita patut melihat kuasa beli ketika ini berbanding tahun 1980an.


Pada tahun 1980an dengan RM1,800 kita mampu memiliki sebuah motorsikal dengan harga tunai, tapi ketika ini jika kita memilik RM5,000 pun kita hanya boleh memiliki sebuah motorsikal terpakai. Dari sudut ini sebenarnya kuasa beli mereka makin menguncup.


Maka kita dan kerajaan sepatutnya kini telah memulakan langkah pemulihan ke arah peningkatan ekonomi Melayu Bumiputera di pasca-Covid yang pastinya semua sektor sedang mengembangkan kek untuk perancangan perkongsian yang lebih saksama.


Kegagalan bergerak cergas pada peringkat ini akan menyebabkan generasi selepas Wawasan 2020 (yang gagal) akan mewarisi kegagalan pada tahun 2050 nanti. Mari kita menyayangi generasi kita dengan melepaskan ego sendiri.


_____________________________________________________________________________

Penulis merupakan mantan Pegawai Kanan Statistik di Jabatan Perangkaan Malaysia

0 comments

Recent Posts

See All

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER