Kejayaan sebenar perjuangan Anwar memerdekakan minda Melayu




Oleh: Dr Mohd Amim Othman


Seorang pejuang rakyat yang ikhlas berpendapat perubahan di dalam kualiti hidup masyarakat yang dipimpin merupakan satu kepuasan yang paling manis untuk dikecapi. Nelson Mandela merengkok di dalam penjara selama 27 tahun dan menjadi presiden hanya untuk beberapa ketika, tetapi perjuangan beliau berjaya membebaskan rakyat pribumi Afrika Selatan dari kekejaman rejim Apartheid.


Apabila disoal tentang kemanisan perjuangan, beliau menyatakan “When you find a cause worth, fighting for you become passionate and passion fuels the fires of perseverance”. Pada pandangan beliau, kejayaan menjawat jawatan Presiden Afrika Selatan tidak sama dengan kejayaan beliau membebaskan kaum pribumi dari cengkaman kaum kulit putih Afrika. Bagi Datuk Seri Anwar Ibrahim, kejayaan membebaskan orang Melayu dari cengkaman “saka” kumpulan politik bangsa dan agama merupakan satu kemanisan perit jerih perjuangan berbanding kejayaan memenuhi tuntutan ahli parti agar beliau menjadi Perdana Menteri.


Perjuangan Datuk Seri Anwar sebagai seorang pemimpin yang berjiwa besar dan ikhlas sehingga kini masih gagal difahami oleh setengah penyokong walaupun sudah hampir 22 tahun mereka bersama beliau. Dari tahun 1982, Datuk Seri Anwar bersama Tun Mahathir sehingga dipecat pada 2 September 1998 dan bekerjasama semula dengan Tun pada 2016. Dan kini, bekerjasama dengan terdapat risiko perpecahan dalam parti.


Agenda Reformasi


Ini semua adalah rentetan kerjasama yang perit atas dasar melaksanakan impian agenda Reformasi berbanding perjuangan mendapatkan jawatan. Sebenarnya, perdebatan penyokong Datuk Seri Anwar tentang perlukah beliau sekali lagi ditipu oleh Tun seharusnya tidak timbul. Ketiga-tiga era kerjasama dibuat di atas dasar dan persetujuan yang berlainan.


Di setiap peringkat kerjasama Tun dan Datuk Seri Anwar, pemenangnya adalah Anwar. Tun Mahathir mendapat jawatan dan “kesenangan” tetapi Anwar mendapat “kepuasan” iaitu agenda Reformasi beliau dilaksanakan dalam pelbagai aspek kehidupan rakyat Malaysia.


Pada 17 September 2018, Datuk Seri Anwar sekali lagi menegaskan bahawa terdapat banyak pihak yang mempersoalkan sejauh mana kebenaran Tun akan menyerahkan jawatan Perdana Menteri kepada beliau satu hari nanti, namun terlupa dengan perjanjian ditandatangani antara parti dalam Pakatan Harapan (PH) sebelum ini.


Persoalan yang sama sebenarnya diterima beliau kali pertama ketika melangkah masuk ke dalam Umno. Jawatan dan laba apakah yang beliau dapat dari keputusan menyertai Umno? Sebenarnya, pemimpin hebat tidak menilai kejayaan dengan jumlah laba yang diperolehi berbanding jumlah kesenangan yang dapat dirasai rakyat.


Malah, beliau turut menambah, PH bersetuju melantik Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri kerana beliau menerima agenda perubahan dan menandatangani dokumen mempertahankan kebebasan demokrasi serta badan kehakiman, menolak rasuah dan penyelewengan serta perkauman sempit. Beliau bersetuju kerana agenda reformasi itu dipersetujui dan percaya Dr Mahathir akan melaksanakan janji itu.


Usaha ke arah melaksanakan agenda bukan suatu perkara yang mudah. Tetapi dalam beberapa peringkat ia berjaya dilaksanakan. Cuma rakyat dapat merasai perubahan tersebut, tetapi tidak dapat menilai sejauh manakah pelaksanaan Reformasi berjaya dilaksanakan. Dalam sejarah kehidupan orang Melayu, mereka senang merasai kenikmatan dan kesedapan sesuatu perubahan tetapi mereka acapkali tidak dapat menilai perubahan yang merubah kehidupan mereka.


Sistem kewangan Islam


Fasa pertama kerjasama Tun - Anwar memperlihatkan harapan Anwar untuk melaksanakan pembentukan sistem kewangan Islam (bank), pendidikan Islam (universiti) dan perlindungan insuran (takaful) berjaya dibuat di Malaysia. Sehingga beliau dinobatkan dengan pelbagai anugerah kejayaan di peringkat antarabangsa dalam bidang pengurusan dan tadbir urus kewangan negara. Malah, pemilikan rumah kepada masyarakat Melayu bandar diperkenalkan dengan pembinaan ratusan ribu rumah PPRT dan peningkatan taraf kualiti hidup miskin bandar serta desa melalui skim Amanah Ikhtiar.


Fasa kedua kerjasama memperlihatkan buat pertama kalinya BN dapat dikalahkan oleh Pakatan Harapan dan retorik hanya Umno membantu orang Melayu berjaya dinyahkan dengan memperlihatkan hipokrasi penggunaan unsur bangsa oleh parti politik dalam menagih sokongan rakyat. Malah kerjasama ini berjaya membongkar penyelewangan wang rakyat melalui pelbagai skandal berskala besar seperti IMDB dan Felda.


Tanpa kerjasama ini, penyelewang Umno kekal menjadi mitos dan sebuah siri penipuan oleh pihak pembangkang untuk menjatuhkan kerajaan Melayu. Akhirnya rakyat dapat memahami bahawa Umno adalah sebuah parti Melayu yang mengunakan landasan bangsa dan selama 60 tahun menjarah kekayaan untuk kesenangan pemimpin elit Melayu, manakala marhaen Melayu di desa mendapat lebihan kuah dan tulang.


Fasa ketiga kerjasama Tun dan Datuk Seri Anwar adalah kejayaan membentuk generasi Melayu yang bebas dari hipokrasi pemimpin yang mengunakan unsur agama demi kepentingan mereka. Setelah kejayaan PH membentuk kerajaan baru, rakyat disedarkan dengan kebenaran bahawa sebuah parti bersandarkan agama seperti juga parti politik lain di Malaysia adalah sebuah parti politik nasional yang mengunakan hudud sebagai alat politik mereka. Setelah berjaya membentuk kerajaan 'tebuk atap', akhirnya pemimpin parti agama berkenaan mengakui bahawa hudud bukan mudah dilaksanakan tanpa majoriti 2/3.


Bukan dasar Islam


Parti Islam tersebut akhirnya memperlihatkan perjuangan mereka bukan atas dasar Islam semata-mata tetapi atas dasar kuasa. Apabila, slogan “Umno kafir” dengan mudah ditukar menjadi Muafakat Nasional. Prinsip agama dikorbankan atas dasar kerjasama bangsa. Mengakui bahawa tanpa kerjasama atas dasar bangsa, Melayu dan Islam tidak dapat dipertahankan. Akhirnya siapakah yang patut dipersalahkan ke atas kematian As-Syahid Ibrahim Libya? Umno atau kejahilan ahli parti Islam memahami perjuangan politik pemimpin mereka?


Pemimpin yang bijaksana akan menunggang kezaliman. Dalam kegelapan ahli parti memahami intipati perjuangan pemimpin mereka, cahaya kejayaan dalam mencipta perubahan pasti menyerlah. Fasa keempat kerjasama, hanya masa akan menentukan siapa benar dan siapa salah, siapa menipu dan siapa ditipu, siapa bijaksana dan siapa terkena.


Fasa akhir kerjasama ini, diharapkan “si Kitol Melayu” sudah tiada dan orang Melayu akan bersatu padu di atas dasar Islam yang memimpin. Orang Melayu tidak lagi dipisahkan antara unsur bangsa dan agama. Mereka disatukan di atas kesatuan bangsa Malaysia dan bersatu padu dengan kaum lain membentuk bangsa Malaysia yang kuat dan bersatu padu. Bangsa Melayu Islam baharu akan memimpin rakyat Malaysia ke arah Malaysia yang berintegriti dan beramanah.


__________________________________________________________________________________


Penulis merupakan Ketua Pegawai Eksekutif Institut Madani dan merupakan pemerhati politik sejak sedekad lalu.


Tulisan ini adalah pandangan peribadi dan tidak mewakili pendirian rasmi Suara Keadilan


PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikut Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
  • radio