Kecemerlangan PM dinilai melalui keupayaan, prestasi, usia bukan faktor utama
- Suara Keadilan

- 2 hours ago
- 2 min read

Oleh: Helmi Foad
Tanggapan bahawa pemimpin lebih muda lebih layak memegang jawatan Perdana Menteri (PM) selepas Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dilantik sebagai Pengerusi Perikatan Nasional (PN) pada usia 56 tahun merupakan pandangan simplistik yang tidak mencerminkan realiti, atau kecemerlangan yang diperlukan untuk mentadbir negara.
Setiausaha Pertubuhan Pendidikan Intelek Warga Terengganu, Ahmad Nadhir Yob berkata, kepimpinan negara tidak seharusnya dinilai berdasarkan faktor usia, sebaliknya perlu diukur melalui pencapaian prestasi, terutamanya dalam sektor ekonomi.
"Kepimpinan negara dinilai melalui keupayaan dan prestasi, bukan faktor usia semata-mata.
"Pendekatan menilai kelayakan berdasarkan umur adalah terlalu simplistik dan tidak mencerminkan realiti sebenar kepimpinan sebuah negara membangun seperti Malaysia," katanya dalam satu kenyataan.
Isu 'kelayakan' umur timbul ketika laskar siber PN membandingkan usia PM Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dilahirkan pada 10 Ogos 1947 yang berusia 78 tahun, dengan Dr Samsuri yang lebih muda.
Samsuri yang juga Naib Presiden Pas dilantik menggantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai ketua gabungan pembangkang selepas mesyuarat luar biasa Majlis Tertinggi PN, Ahad lalu.

Pelantikan beliau dilihat oleh sesetengah pihak sebagai membuka ruang perbincangan tentang calon Perdana Menteri lebih 'bertenaga' dari PN.
Bagaimanapun, perbandingan tersebut bagaikan langit dan bumi apabila membandingkan prestasi Anwar yang jauh ke hadapan sejak dari era pelajar hinggalah ke kemuncaknya dilantik sebagai PM.
Malah keupayaan Anwar mengemudi negara berdepan dengan cabaran geopolitik global jelas terbukti cemerlang.
Menurut Ahmad Nadhir lagi, kepimpinan nasional dinilai melalui keupayaan membuat keputusan, pengalaman mengurus krisis serta kebolehan menyatukan masyarakat yang pelbagai latar belakang.
"Kepimpinan nasional tidak pernah diukur berdasarkan umur semata-mata tetapi melalui keupayaan membuat keputusan, pengalaman mengurus krisis, kebolehan menyatukan masyarakat pelbagai latar belakang serta rekod pencapaian yang memberi manfaat nyata kepada rakyat dan negara," katanya.
Beliau berkata, Malaysia ketika ini berdepan cabaran besar termasuk pemulihan ekonomi pasca pandemik, ketidaktentuan ekonomi global, persaingan geopolitik antarabangsa serta keperluan reformasi institusi yang menyeluruh.
Ahmad Nadhir turut menegaskan pentadbiran di peringkat negeri Terengganu dan nasional mempunyai skop tanggungjawab yang berbeza.
"Mengurus sebuah negeri tidak sama dengan memimpin negara yang melibatkan pengurusan ekonomi makro, hubungan diplomatik antarabangsa, kestabilan kewangan negara serta keseimbangan kepentingan seluruh rakyat Malaysia yang berbilang kaum dan wilayah," katanya.
Sehubungan itu, beliau menyeru agar perbincangan mengenai kepimpinan negara dialihkan daripada polemik usia kepada penilaian yang lebih matang berasaskan prestasi, integriti dan pengalaman.
"Kepimpinan yang efektif bukan ditentukan oleh angka usia atau persepsi populariti, tetapi oleh keupayaan sebenar, pengalaman terbukti serta hasil yang dirasai rakyat secara menyeluruh," katanya.




Comments