Eddiarman Yunos dilantik Ketua Penerangan MPN KEADILAN Melaka
- Redzuan Shamsudin

- 5 minutes ago
- 1 min read

Pemangku Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) KEADILAN Melaka, Adam Adli Abd Halim memaklumkan bahawa Eddiarman Mohd Yunos (gambar) dilantik sebagai Ketua Penerangan MPN KEADILAN Melaka yang baharu berkuat kuasa serta-merta.
Menurut Adam Adli, jawatan tersebut sebelum ini disandang oleh Zamri Pakiri, namun beliau telah menarik diri atas komitmen peribadi.
"Saudara Zamri Pakiri telah membuat keputusan untuk menarik diri daripada memegang jawatan Ketua Penerangan MPN Melaka atas komitmen peribadi, bagi mengelakkan sebarang kekangan yang boleh menjejaskan pelaksanaan tugas," katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, kekosongan jawatan tersebut untuk suatu tempoh memerlukan pengisian segera bagi memastikan gerak kerja penerangan negeri dapat dilaksanakan secara lebih tersusun dan berkesan.
"Mengambil kira keperluan untuk memastikan gerak kerja penerangan negeri berjalan dengan lebih tersusun serta memenuhi komitmen MPN Melaka dalam perancangan agenda mendatang, jawatan ini perlu diisi dengan kadar segera," katanya.
Sehubungan itu, beliau mengumumkan pelantikan saudara Eddiarman dari Cabang Tangga Batu sebagai Ketua Penerangan MPN KEADILAN Melaka yang baharu.
Untuk rekod, Eddiarman merupakan lulusan UiTM, Bachelor of Art & Design (Industrial Ceramic). Beliau sebelum ini aktif dalam politik serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Jawatan politik terkini adalah Ketua Penerangan Cabang Tangga Batu dan Ketua Ranting Bertam Setia.
Manakala dalam NGO beliau merupakan Pengerusi GASAK Melaka, AJK Pertubuhan Kebajikan Otai Reformis Malaysia (PKORM), Bendahari Persatuan Rapat Rakyat Melaka, Ahli Majlis Pimpinan Gabungan Reformis Malaysia (GRM) dan Setiausaha Pertubuhan Anak Media Gemilang (AMG) Malaysia.




Comments