top of page

Isu tarif AS: Malaysia kekal pertahan kepentingan nasional, negara dagang

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 3 hours ago
  • 2 min read
DS Anwar menjelaskan pendirian Malaysia berhubung keputusan Mahkamah Agung AS terhadap tarif Trump
DS Anwar menjelaskan pendirian Malaysia berhubung keputusan Mahkamah Agung AS terhadap tarif Trump

Oleh: Akmal Manaf


Malaysia akan terus mempertahankan kepentingan nasional dalam sebarang perkembangan berkaitan keputusan Mahkamah Agung Amerika Syarikat (AS) yang mengisytiharkan tarif diperkenalkan oleh Presiden Donald Trump sebagai tidak sah.


Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, pendirian kerajaan kekal berlandaskan kepentingan keselamatan dan ekonomi negara, sambil menyifatkan masih terlalu awal untuk membuat sebarang penilaian muktamad terhadap implikasi keputusan itu.


"Kita masih mempertahankan keputusan peringkat awal yang dibuat Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz (ketika itu). Ia mengambil kira kepentingan negara. Kita adalah negara dagang dan dalam peruntukan-peruntukan itu, kita boleh mempertahankan termasuk peruntukan menjamin keselamatan dan ekonomi negara.


"Itu cukup jelas. Pada fahaman saya, mana-mana peruntukan yang ada, tidak akan mengenepikan aspek keselamatan negara dan kepentingan ekonomi Malaysia.. bagi saya, itu memadai.


"Tapi kalau ianya masih dipertikai, itu tiada masalah dan sekarang beberapa ahli Yang Berhormat bawa ke mahkamah, dan biar mahkamah tafsirkan.


"Saya tidak ada masalah sama sekali sama ada memihak kepada tuntutan pemula atau pendirian kerajaan sebelum ini kerana bagi kita semua perjanjian (17 perjanjian) diluluskan dan ada peruntukan-peruntukan yang ada persamaan dan perbezaannya," katanya di Dewan Rakyat hari ini ketika sesi Pertanyaan-Pertanyaan Menteri (MQT).


Beliau menjawab pertanyaan Datuk Rosol Wahid [PN-Hulu Terengganu] minta kerajaan menyatakan pendirian rasmi terhadap keputusan Mahkamah Agung AS yang mengisytiharkan tarif yang diperkenalkan oleh Donald Trump sebagai tidak sah dan apakah implikasinya terhadap hubungan perdagangan Malaysia-AS.


Anwar bagaimanapun berkata, setiap pihak berhak mempertikaikan perkara tersebut, namun keputusan Mahkamah Agung AS yang menyentuh isu bidang kuasa tertentu di negara itu perlu diteliti dengan lebih mendalam.


"Ini belum muktamad lagi, muktamad sekadar keputusan Mahkamah Agung tapi Presiden (Trump) umpamanya menggunakan beberapa peruntukan lain yang saya bacakan sebahagiannya.


"Ada tujuh atau lapan peruntukan yang dia rasa itu bidang kuasa mereka, kemudian yang Mahkamah Agung sebut itu adalah kuasa kongres.


"Setakat ini jawapan awal Trump masih ada bidang kuasa dia dalam peruntukan-peruntukan lain.. saya tidak mahu bahas bagi pihak Amerika, itu keputusan dia.


"Keputusan kita mesti guna apa jua kaedah untuk mempertahankan kepentingan kita dan kalau dibangkitkan umpamanya kita harus bertindak berdasarkan keputusan Mahkamah Agung AS, saya rasa (ia) terlalu awal.


"Kalau dilihat sistem di AS, penafsiran Mahkamah Agung itu adalah bahawa kuasa mengenakan tarif adalah kuasa kongres. Jadi kita tunggu dulu.. itu sahaja," ujarnya lagi.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page