Kerajaan galak dakwah patuh undang-undang, MRM boleh berdakwah
- Suara Keadilan

- 5 hours ago
- 2 min read

Oleh: Helmi Foad
Kerajaan menegaskan komitmen untuk terus menggalakkan aktiviti dakwah dilaksanakan secara harmoni dan berhemah selagi ia mematuhi undang-undang serta peraturan pihak berkuasa tempatan.
Pendirian itu dizahirkan Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Azman Abidin semalam selepas menerima kunjungan wakil kumpulan pendakwah termasuk Firdaus Wong Wai Hung dan Pengerusi Multiracial Reverted Muslims (MRM), Muhammad Azim Abdullah Suhaimin susulan isu rampasan bahan serta reruai Street Dakwah mereka di sekitar Bukit Bintang pada minggu lalu.
Pertemuan yang berlangsung di ibu pejabat Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) semalam membincangkan langkah memperjelas serta mempermudah urusan penganjuran aktiviti dakwah jalanan agar selaras dengan garis panduan ditetapkan.
Dalam kenyataan di Facebook, Azman berkata perbincangan tertumpu kepada usaha memastikan aktiviti Street Dakwah MRM dapat diteruskan dalam ruang yang dibenarkan undang-undang.
"Saya menghargai usaha yang dijalankan dan menyokong pelaksanaannya dalam ruang yang dibenarkan oleh undang-undang.
"Kepatuhan kepada peraturan sedia ada akan memastikan semua pihak dapat bergerak ke hadapan secara profesional dan berhemah," katanya.
Susulan pertemuan itu, DBKL telah memulangkan barangan ‘dakwah jalanan’ milik MRM yang disita sebelum ini.
Perkara berkenaan turut disahkan Firdaus Wong yang memaklumkan barangan serta reruai yang dirampas telah dipulangkan serta-merta selepas sesi perbincangan berkenaan.
Beliau yang juga pengasas MRM, menyatakan sokongan berterusan terhadap usaha dakwah pertubuhan itu walaupun tidak lagi memegang jawatan dalam organisasi berkenaan.
Pada 18 Februari lalu, anggota DBKL menurunkan khemah milik kumpulan itu di kawasan Bukit Bintang atas alasan melanggar peraturan berkaitan halangan di laluan pejalan kaki.
Dalam kenyataan rasmi, DBKL menegaskan pihaknya tidak pernah melarang aktiviti dakwah di kawasan awam.
Sebaliknya, tindakan penguatkuasaan diambil kerana struktur khemah dan peralatan yang dipasang didakwa menghalang laluan pejalan kaki serta tidak mempunyai kelulusan atau permit yang ditetapkan di bawah undang-undang kecil pihak berkuasa tempatan.
DBKL turut memaklumkan penguatkuasaan dibuat secara berkala terhadap mana-mana pihak yang menjalankan aktiviti tanpa kebenaran di lokasi tumpuan awam khususnya di kawasan pelancongan dan komersial seperti Bukit Bintang demi memastikan keselamatan, ketenteraman serta kelancaran pergerakan orang ramai.
Sehari selepas itu, DBKL menyatakan kesediaan untuk mengadakan pertemuan dengan MRM bagi membincangkan penyelesaian jangka panjang termasuk memperjelas prosedur permohonan serta syarat penganjuran aktiviti di ruang awam bagi mengelakkan kejadian sama berulang.
Insiden berkenaan mencetuskan perdebatan dalam kalangan beberapa pihak termasuk ahli politik pembangkang yang mempersoalkan tindakan tersebut, selain dakwaan bahawa tiada notis saman atau senarai inventori rampasan diberikan.
Firdaus sebelum ini mendakwa MRM telah menjalankan aktiviti dakwah jalanan selama lebih 14 tahun tanpa dimaklumkan mengenai keperluan mendapatkan permit khusus.
Isu tersebut turut menarik perhatian Perdana Menteri yang mengingatkan semua pihak termasuk pendakwah perlu mematuhi undang-undang dan peraturan tempatan dalam melaksanakan sebarang aktiviti.




Comments