Kebiadaban rejim zionis tidak peduli undang-undang antarabangsa - Amirudin
- Azuan Ab Rahman

- May 1
- 2 min read

Kerajaan Negeri Selangor mengeluarkan kenyataan mengecam sekeras-kerasnya serangan, halangan dan penahanan rejim zionis Israel terhadap para aktivis Global Sumud Flotilla (GSF) 2.0.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari (gambar) berkata, tindakan rejim tersebut memintas kapal serta menculik aktivis kemanusiaan termasuk dari Malaysia berhampiran Pulau Crete di Greece menampilkan sikap tidak peduli rejim Zionis Israel terhadap undang-undang perairan antarabangsa.
"Kelompok ini telah sekian lama membuktikan bahawa mereka berhasrat meneruskan genosid terhadap rakyat Palestin, sama ada dalam bentuk serangan pengeboman ataupun penghentian bantuan kemanusiaan oleh pihak lain seperti insiden terbaharu ini.
"Sikap lanun pembunuh ini turut memangsakan penduduk di rantau Asia Barat, termasuk rakyat Lubnan yang diusir dari tanah sendiri, ataupun penduduk di Iran yang menjadi mangsa pembunuhan," katanya dalam kenyataan.
Sumud Nusantara Command Center (SNCC) mengesahkan enam daripada 22 kapal yang dipintas dan diceroboh tentera rejim Israel di perairan antarabangsa ketika menuju ke Gaza.
Ketua Pengarah SNCC Datuk Dr Sani Araby Abdul Alim Araby berkata mereka yang terlibat ialah Zainal Rashid Ahmad yang menaiki kapal Arkham III; Osman Zolkifli dan Dr Jihan Alya Mohd Nordin (Eros 1); Hazwan Hazim Dermawan, Mohd Hanafi Mohd Salim, Ahmad Musa Al-Nuwayri Kamaruzaman dan Norhelmi Ab Ghani (Bianca BCN).
Turut terlibat ialah Mohd Redzal Amzah dan Muhamad Muhsin Zaidi, masing-masing berada dalam kapal Freia dan Marea serta Mohd Shamsir Mohd Isa (Esplai).
Sementara itu, Amirudin yang juga Menteri Penaung GSF 2.0 sementara itu memaklumkan beliau akan berhubung dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan bagi memastikan keselamatan para aktivis yang menjadi mangsa serangan dan penahanan itu dapat dijamin dan dibebaskan.
Beliau turut menggesa kecaman dan ikhtiar yang mencakupi semua aspek untuk meningkatkan tekanan terhadap rejim Zionis Israel daripada semua pihak.




Comments