top of page

Keberanian PM tegur pegawai tinggi cerminkan kepimpinan sejati

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 9 hours ago
  • 2 min read


Oleh: Helmi Foad


Keberanian Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegur kepimpinan tertinggi agensi penguatkuasaan secara terbuka mencerminkan kepimpinan sejati, khususnya selepas sekian lama masyarakat menzahirkan keraguan terhadap tahap integriti, akauntabiliti dan keberkesanan institusi berkenaan.


Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kajang, David Cheong (gambar) berkata pendirian tegas Perdana Menteri itu merupakan satu isyarat jelas bahawa kerajaan tidak lagi bertolak ansur terhadap kelemahan sistem dan budaya sambil lewa dalam pelaksanaan tugas penguatkuasaan.


"Kenyataan Perdana Menteri bahawa mereka yang tidak sanggup memikul amanah perlu memberi laluan bukan sekadar teguran pentadbiran tetapi satu pengisytiharan jelas tentang hala tuju tadbir urus negara," katanya dalam kenyataan hari ini.


Menurut Cheong, pengakuan Anwar bahawa beliau telah “kehilangan kesabaran” selepas tiga tahun menerajui kerajaan tidak harus ditafsirkan sebagai tindakan beremosi sebaliknya lahir daripada rasa tanggungjawab yang mendalam terhadap negara, rakyat dan institusi.


Beliau berkata apabila isu penyeludupan, rasuah dan kegiatan haram terus berleluasa, toleransi terhadap kelemahan sistem hanya akan mengkhianati amanah rakyat serta merosakkan keyakinan awam terhadap agensi penguatkuasaan.


"Masalah utama selama ini bukan kekurangan undang-undang tetapi kelemahan akauntabiliti dan pelaksanaan.

"Keberanian Perdana Menteri menegur golongan berjawatan tinggi yang gagal melaksanakan tanggungjawab menunjukkan kepimpinan yang berprinsip dan berjiwa reformasi," katanya.


Dalam pada itu, Cheong menegaskan pendekatan ‘memberi laluan’ kepada mereka yang lebih berkeupayaan adalah selari dengan semangat reformasi Kerajaan MADANI yang menekankan integriti, disiplin dan kebertanggungjawaban.


Beliau berkata, kerajaan juga tidak lagi boleh berpuas hati dengan laporan prestasi yang indah di atas kertas, sebaliknya perlu memastikan perubahan sebenar dan hasil yang konkrit dapat dilihat dan dirasai rakyat.


"Rakyat mahukan tindakan, bukan slogan; reformasi, bukan persembahan. Keberanian untuk menuntut kebertanggungjawaban inilah yang akan menentukan sama ada reformasi benar-benar berjaya atau sekadar tinggal retorik," katanya.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page