top of page

Dakwaan serah 5,000 hektar tanah kepada Indonesia tiada asas, tohmahan

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 6 minutes ago
  • 1 min read

DS Anwar menegaskan tohmahan pembangkang kononnya kerajaan menyerahkan 5,000 hektar tanah
DS Anwar menegaskan tohmahan pembangkang kononnya kerajaan menyerahkan 5,000 hektar tanah

Dakwaan pembangkang kononnya kerajaan menyerahkan lebih 5,000 hektar tanah kepada kerajaan Indonesia disifatkan sebagai tidak berasas dan bermotifkan politik.


Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, tuduhan tersebut dibuat tanpa fakta yang tepat dan hanya bertujuan untuk mengelirukan rakyat.


"Pembangkang ini guna kebebasan bercakap untuk merapu dan berbohong. Guna Islam, guna nama Islam untuk tipu. Guna fakta yang salah," katanya kepada pemberita usai menunaikan Solat Jumaat di Masjid Ar-Rahimah, Taman Greenwood, petang tadi.


Menurut beliau, sekiranya pihak pembangkang mahu mendapatkan penjelasan, mereka boleh melakukannya melalui saluran yang betul, termasuk mengemukakan soalan secara rasmi di Dewan Rakyat.


"Kalau dia tanya dan minta Perdana Menteri beri penjelasan, itu tidak mengapa. (Tetapi) dia (terus) buat hukuman, hukuman menipu terus menerus. saya tidak boleh terima alasan sebegini. Ini bukan perangai pembangkang yang wajar dalam negara kita. Mesti bertanggungjawab," tegasnya.


Mengulas sama ada kerajaan akan memberi penjelasan di Parlimen berhubung dakwaan tersebut, beliau berkata tindakan itu tidak perlu memandangkan tuduhan berkenaan dibuat secara tidak bertanggungjawab.


"Tak perlu beri penjelasan. Dia (pembangkang) mesti bertanggungjawab. Buat tuduhan menipu dan memfitnah terus-menerus. Kita tidak boleh terima kaedah politik yang buruk dan busuk seperti ini," katanya lagi.


Semalam, Ketua Pembangkang Datuk Seri Hamzah Zainudin menggesa dewan membincangkan dakwaan Malaysia menyerahkan 5,207 hektar tanah kepada Indonesia sebagai pampasan bagi tiga kampung di kawasan Nunukan berhampiran sempadan Sabah-Kalimantan yang masuk ke wilayah Malaysia.


Hamzah berkata, walaupun dakwaan itu telah dinafikan Perdana Menteri tetapi isu seperti itu penting untuk dibincangkan kerana melibatkan kedaulatan negara.

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page