top of page

Korupsi: Jemaah Menteri tidak campur, terserah kepada badan penguatkuasaan

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 2 hours ago
  • 2 min read

Oleh: Akmal Manaf


Jemaah Menteri tidak akan campur tangan dalam sebarang siasatan atau tindakan penguatkuasaan, sebaliknya menyerahkan sepenuhnya perkara itu kepada badan penguatkuasaan berkaitan.


Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil berkata, penegasan itu dibuat susulan beberapa isu berkaitan aspek penguatkuasaan yang sebelum ini ditegur Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam perhimpunan bulanan yang diadakan semalam.


"Ini kerana kalau kita lihat, beberapa tindakan yang telah diambil oleh badan-badan penguatkuasaan menunjukkan mungkin (terdapat) beberapa sikap yang tidak membantu… itu menghakis keyakinan rakyat terhadap institusi.


"Jadi di pihak Jemaah Menteri, kita tidak mengambil sebarang tindakan.. ini adalah tindakan daripada badan penguatkuasaan seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan seperti yang telah diambil (tindakan) terhadap Ketua Pengarah dan Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS)," katanya.


Beliau berkata demikian ketika sidang media pasca Mesyuarat Kabinet di Putrajaya hari ini.


Kata Fahmi lagi, peringatan yang telah diberikan oleh Anwar itu juga telah disusuli oleh Ketua Setiausaha Negeri (KSN), Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar kepada semua KSU kementerian bagi memastikan aspek-aspek integriti diperkemas dan tidak berlaku apa-apa perkara yang tidak diingini.


Sebelum ini, Kerajaan MADANI menegaskan komitmen untuk meneruskan usaha membanteras rasuah dan memperkukuh reformasi institusi.


Anwar yang juga Presiden KEADILAN berkata, jika dibandingkan dengan beberapa tahun kebelakangan ini serta prestasi penguatkuasaan yang semakin berkesan, perkembangan itu adalah sesuatu yang membanggakan.


"Saya tidak mengatakan bahawa saya berpuas hati sepenuhnya. Kita telah melalui semua kes besar, termasuk melibatkan mantan perdana menteri, mantan menteri serta pemantauan yang sangat rapi terhadap anggota Kabinet dan jentera kerajaan.


Bagaimanapun, katanya berdasarkan laporan media, masih wujud unsur kemerosotan kerana rasuah bukan sahaja bersifat endemik, malah sistemik.


Hal itu, kata PM, memerlukan usaha yang sangat besar daripada agensi seperti SPRM, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Jabatan Imigresen serta semua agensi kerajaan lainnya.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page