Kebebasan universiti dijamin: Siswa perlu tampil idea segar, bukan kebencian
- Suara Keadilan
- 2 hours ago
- 2 min read

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan kerajaan akan terus mengekalkan kebebasan di universiti agar ia menjadi medan subur untuk melahirkan mahasiswa yang berani berfikir, mengemuka pandangan segar dan mencorak masa depan negara.
Beliau menegaskan, kebebasan akademik perlu difahami dalam kerangka tanggungjawab dan nilai, bukan dijadikan alasan untuk menyemai sentimen kebencian, penghinaan atau politik sempit yang memecah belahkan masyarakat.
"Saya mahu universiti menjadi gelanggang idea yang hidup, tempat mahasiswa berani menyoal dan mencabar pandangan dengan hujah yang bernas, bukan medan untuk menanam kebencian," katanya ketika menyampaikan ucapan penutup Festival Idea Putrajaya 2025 bertemakan “MADANI: Melakar Masa Depan, Merealisasi Idea”, di Putrajaya hari ini.
Turut hadir, Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir; Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad; Naib Canselor Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) Profesor Datuk Ts. Dr. Sharifudin Md. Shaarani; serta Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali.
Anwar turut menegaskan bahawa kerajaan komited memperkukuh ekosistem pendidikan tinggi dengan peningkatan kemudahan di universiti, termasuk prasarana pembelajaran, kemudahan digital serta sokongan kepada pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah.
Beliau berkata, usaha ini selaras dengan matlamat kerajaan untuk menjadikan institusi pengajian tinggi bukan sekadar tempat menimba ilmu, tetapi wadah pembentukan karakter, etika dan kepimpinan berasaskan nilai Malaysia MADANI.
"Saya harap anak-anak dalam Festival of Ideas ini bawa mesej baharu ini. Kerana saya lihat kadang-kadang berkecamuk kita dalam dunia politik itu membosankan juga. Kalau perbahasan-perbahasan sampai sekarang di parlimen.
"Kadang-kadang masih menyinggung, menghina kaum, menghina agama lain dan tidak meluahkan pandangan, melontarkan idea yang boleh membantu. Tapi kerja menghina dan maki hamun dan mencerca. Ini bukan politik yang sihat. Ini bukan idea yang bernas. Ini idea dalam Festival of Ideas ini yang mesti dibenamkan," ujarnya.
Perdana Menteri mahu mahasiswa perlu sebagai satu angkatan muda yang menunjukkan keberanian untuk menegakkan kebenaran dan keadilan dan menolak unsur-unsur yang merosakkan akal budi negara kita.
Dalam pada itu, Perdana Menteri mengumumkan bahawa bermula tahun depan, kerajaan akan memperkenalkan dasar baharu yang membolehkan golongan termiskin menikmati pendidikan percuma, bermula dari prasekolah hingga ke universiti.
Katanya, langkah itu membuktikan kesungguhan kerajaan memastikan akses pendidikan berkualiti dapat dinikmati semua lapisan rakyat tanpa mengira latar belakang sosioekonomi, seiring dengan aspirasi Malaysia MADANI yang menekankan prinsip kemampanan dan keadilan sosial.
"Jadi saya harap anak-anak, saya nak pesan ini satu, you are the future. Yang kita mampu setakat ini dengan segala kudrat dan kekuatan kita, beri ruang. Dia nak Festival of Ideas? Okay. Dia nak lebih kebebasan kat universiti, okay. Dia nak baiki kemudahan-kemudahan lain, iya. Sedaya upaya kita, kita akan bantu. Percayalah dalam mesyuarat-mesyuarat Jemaah Menteri kita. Kita tak pernah tinggalkan saudara.
"Yang miskin, yang terpinggir, yang kawasan pedalaman, yang miskin bandar, masih ramai. Dan sebahagian daripada saudara-saudara mewakili kelompok itu. Dan bagi kita pendidikan itu jawapan terbaik. Mobiliti sosial itu melalui pendidikan. Kalau ada satu kejayaan kita di Malaysia ini yang paling hebat ialah kelompok yang paling miskin, baik miskin bandar, miskin desa, miskin pedalaman diberi ruang untuk naik ke arah mobiliti sosialnya," jelasnya.





