Kebakaran rumah kedai 100 tahun, Pejabat Parlimen Segamat hulur bantuan
- Suara Keadilan

- May 20
- 1 min read

Satu kejadian kebakaran melibatkan rumah kedai berusia lebih 100 tahun di Pekan Buloh Kasap, Segamat mengakibatkan kerosakan serius termasuk runtuhan bahagian atap dan lantai premis terlibat.
Dalam kejadian tersebut, pihak Pejabat Parlimen Segamat bertindak pantas menyalurkan bantuan kepada mangsa yang terkesan.
Menurut kenyataan, sejurus menerima maklumat kejadian, Pegawai Khas Parlimen Segamat, En Pathma bersama Sukarelawan Parlimen Segamat, En Chong telah hadir ke lokasi bagi meninjau keadaan serta menyantuni mangsa.
"Pasukan kami turut menemui keenam-enam pemilik dan penyewa kedai yang terkesan selain membantu membuat laporan pantas kepada pihak berwajib bagi mempercepatkan urusan bantuan dan tindakan susulan," kata kenyataan itu.

Sebagai bantuan awal kecemasan, Ahli Parlimen Segamat, Yuneswaran Ramaraj telah menyalurkan sumbangan segera sebanyak RM1,000 kepada setiap enam pemilik dan penyewa kedai yang terlibat.
"Pejabat Parlimen Segamat merakamkan penghargaan kepada pihak bomba, pasukan keselamatan serta semua pihak yang membantu dalam operasi dan urusan kebajikan mangsa. Semoga semua yang terkesan diberikan kekuatan dan dipermudahkan segala urusan,” katanya.
Sementara itu, pihak bomba berjaya mengawal kebakaran daripada merebak ke unit kedai berhampiran dan kini masih menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca kejadian.




Comments