top of page

Kebakaran hutan Kalimantan: Perkukuh kerjasama M'sia-Indonesia tangani bencana

  • Writer: Redzuan Shamsudin
    Redzuan Shamsudin
  • 3 hours ago
  • 2 min read

Isu kebakaran hutan di Kalimantan perlu diberikan perhatian serius kerana kesannya berpotensi menjejaskan Sabah dan Sarawak melalui pencemaran udara serta kemerosotan kualiti alam sekitar.


Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Mas Gading, Heikarl Edzha Zaini berkata, kebakaran hutan bukan sahaja mengancam kesihatan dan keselamatan rakyat, malah memusnahkan habitat semula jadi serta mengancam kelangsungan hidupan liar di Pulau Borneo.


"Isu kebakaran hutan di Kalimantan perlu diberikan perhatian serius kerana kesannya tidak terhenti di sempadan Indonesia, malah berpotensi menjejaskan Sabah dan Sarawak melalui pencemaran udara serta kemerosotan kualiti alam sekitar," katanya dalam kenyataan hari ini.


Menurut beliau, hutan Borneo merupakan khazanah bersama yang perlu dilindungi melalui tindakan dan kerjasama merentasi sempadan negara.


"Kebakaran ini bukan sekadar membawa ancaman kepada kesihatan dan keselamatan rakyat, tetapi turut memusnahkan habitat semula jadi serta mengancam kelangsungan hidupan liar yang menjadi khazanah bersama Pulau Borneo," katanya.


Sehubungan itu, Heikarl menyeru Kerajaan Malaysia, khususnya kerajaan negeri Sabah dan Sarawak, memperkukuh kerjasama dengan Indonesia dalam menangani isu kebakaran hutan berkenaan.


"Saya menyeru Kerajaan Malaysia, khususnya Kerajaan Negeri Sabah dan Sarawak, supaya memperkukuh kerjasama dengan Kerajaan Indonesia melalui perkongsian maklumat, pemantauan bersepadu, bantuan pemadaman kebakaran serta usaha pencegahan jangka panjang," katanya.


Beliau turut mencadangkan supaya mekanisme tindakan bersama melibatkan Malaysia, Indonesia dan Brunei diperkasakan bagi menghadapi bencana alam serta melindungi ekosistem Borneo secara menyeluruh.


Heikarl yang juga Ahli Jawatankuasa Biro Hubungan Antarabangsa AMK Malaysia berkata, hutan Borneo tidak seharusnya dilihat sebagai milik mana-mana negara secara berasingan kerana ekosistemnya saling berkait dan tidak mengenal sempadan politik.


"Hutan Borneo ialah warisan bersama yang tidak mengenal sempadan negara. Justeru, segala usaha menyelamatkannya menuntut komitmen, solidariti dan tindakan segera daripada semua pihak," katanya.


Beliau mengingatkan tindakan segera perlu diambil sebelum keadaan menjadi lebih buruk dan memberi kesan berpanjangan kepada rakyat serta alam sekitar.


"Kita tidak boleh menunggu sehingga udara semakin tercemar, habitat musnah dan hidupan liar kehilangan tempat berlindung.


"Malaysia dan Indonesia mesti bertindak bersama demi rakyat, alam sekitar dan masa depan Borneo," katanya lagi.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page