KEADILAN Titiwangsa usul kuota subsidi diesel, pengurangan cukai jalan
- Redzuan Shamsudin

- 2 hours ago
- 1 min read

Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Cabang Titiwangsa mengemukakan usul supaya kerajaan menstruktur semula bantuan kepada pengguna diesel bagi menangani kesan kenaikan harga bahan api.
Ketua Cabangnya, Syed Badli Shah Syed Osman, berkata usul tersebut telah diluluskan dalam Mesyuarat Agung Tahunan Cabang (MATC) 2026 yang berlangsung pada 12 April lalu.
Menurut beliau, cadangan penstrukturan itu termasuk memperkenalkan kuota subsidi diesel bagi kenderaan persendirian atau komersial serta pengurangan kadar cukai jalan kepada pemilik kenderaan diesel.
"Penstrukturan ini termasuk cadangan untuk memperkenalkan kuota subsidi diesel bagi kenderaan persendirian dan menurunkan kadar cukai jalan sebanyak 50% kepada pemilik kenderaan diesel persendirian dan komersial," katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, pihaknya memahami bahawa kenaikan harga bahan api berpunca daripada faktor global, namun langkah intervensi di peringkat domestik masih boleh membantu mengurangkan impak kepada rakyat.
"Kami memahami bahawa krisis ini adalah krisis global namun kami juga berpandangan yang kenaikan harga minyak khususnya diesel ini dapat dikurangkan dengan penstrukturan semula bantuan termasuk memberi fokus kepada pengguna industri kecil dan persendirian," jelasnya.
Dalam masa sama, KEADILAN Titiwangsa turut mencadangkan agar kerajaan mempertimbangkan pengembalian kuota 300 liter RON95 di bawah inisiatif BUDI Madani selepas krisis di Asia Barat berakhir.
Mesyuarat tersebut telah diadakan di Dewan Serbaguna Desa Pandan dan dirasmikan oleh Ketua Penerangan KEADILAN merangkap Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil.
Tambah Syad Badli, cabang itu akan terus menyokong kepimpinan Perdana Menteri dan memastikan kebajikan rakyat terus menjadi keutamaan.
"KEADILAN Titiwangsa berikrar akan terus berdiri teguh di bawah kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Kerajaan Madani," katanya.




Comments