top of page

Keadilan sosial, rapat jurang kemiskinan kayu ukur kejayaan kewangan Islam

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • Sep 11
  • 2 min read

PM Anwar tekankan sistem kewangan Islam mesti berlandaskan kerangka Maqasid Syariah. Foto: FB Anwar
PM Anwar tekankan sistem kewangan Islam mesti berlandaskan kerangka Maqasid Syariah. Foto: FB Anwar

Oleh: Helmi Foad


Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kejayaan kewangan Islam tidak boleh diukur hanya daripada angka aset yang dicatatkan, tetapi pada kemampuan industri itu melahirkan masyarakat yang lebih adil, mengurangkan jurang kemiskinan serta menjamin keadilan sosial.


Perdana Menteri berkata sistem kewangan Islam mesti berlandaskan kerangka Maqasid Syariah agar ia benar-benar membawa perubahan bermakna dan memberi harapan baharu kepada umat manusia.


"Ukuran sebenar kejayaan bukan pada angka semata-mata tetapi pada kehidupan yang berubah dan masa depan yang lebih terjamin," katanya dalam ucapan sulung sebagai GIFA Laureate selepas menerima Global Islamic Finance Leadership Award (GIFA) 2025 di Kuala Lumpur hari ini.


Anwar yang juga Menteri Kewangan menegaskan bahawa kewangan Islam tidak boleh berhenti sekadar bebas daripada riba, sebaliknya mesti mengangkat nilai-nilai seperti belas ihsan, keterangkuman, perkongsian risiko dan keadilan sosial.


Tanpa elemen itu, katanya beliau kewangan Islam hanya akan dilihat di pinggiran, bukan sebagai alternatif berdaya maju dalam sistem kewangan global.


Beliau berkata perjalanan kewangan Islam sejak diperkenalkan pada awal 1980-an adalah hasil usaha kolektif yang menyaksikan pengawal selia, institusi kewangan, akademia dan rakan antarabangsa bekerjasama membina ekosistem kukuh.


"Pengawal selia menggabungkan kebijaksanaan dengan pandangan jauh, institusi kewangan berinovasi menyediakan penyelesaian patuh syariah dan universiti melahirkan sarjana yang idea mereka terus menginspirasikan komuniti kewangan Islam.


"Sementara itu, rakan antarabangsa memberi galakan dan sokongan yang membuktikan kewangan Islam paling kuat apabila dibina atas asas kerjasama serta saling menghormati," katanya.


Anwar berkata pembangunan kewangan Islam pada masa depan harus memberi tumpuan kepada inovasi seperti sukuk hijau untuk membiayai infrastruktur lestari, platform digital untuk memperluas keterangkuman kewangan serta pengembangan instrumen sosial seperti zakat dan wakaf bagi membantu komuniti.


"Dengan itu, kita akan dapat memperkukuh kewangan Islam sebagai pemacu Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) dan pada masa sama melahirkan generasi pemimpin yang beretika serta berpaksikan nilai," katanya.


Perdana Menteri turut mengingatkan industri agar tidak terperangkap dengan budaya berpuas hati, merujuk kepada amaran tokoh kewangan Islam terkemuka, Allahyarham Dr Mohammad Nejatullah Siddiqi bahawa kewangan Islam tidak boleh hanya dilihat sebagai bebas riba dan berhenti di situ.


Mengulas cabaran semasa, Anwar menyentuh konflik yang berlarutan di Gaza serta serangan Israel ke atas Qatar pada Selasa lalu dengan menegaskan dunia Islam mesti memperkukuh kekuatan dalaman, menolak rasuah dan membina alternatif ekonomi berasaskan prinsip keadilan.


"Ketika kita mengecam keangkuhan Zionis Israel, kita juga perlu memastikan rumah kita teratur, menegakkan piawaian etika, membanteras rasuah dan ketidakadilan serta memacu ekonomi melalui alternatif berasaskan Islam," katanya.


Dalan pada itu Anwar berkata beliau berpuas hati kerana kewangan Islam di negara ini bukan sahaja mendapat sambutan dalam kalangan umat Islam malah turut disertai oleh masyarakat bukan Islam yang semakin yakin dengan sistem tersebut.


"Itu menunjukkan kita mampu menawarkan alternatif yang lebih adil, inklusif dan mampan melalui instrumen Islam yang relevan, beretika dan diyakini," katanya.


Perdana Menteri menyeru agar kewangan Islam terus menjadi obor keadilan, maruah dan harapan untuk seluruh umat manusia.


"Bersama-sama, marilah kita pastikan kewangan Islam kekal sebagai cahaya keadilan, maruah dan harapan untuk seluruh kemanusiaan," katanya lagi.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page