KEADILAN Sarikei beri bantuan air mineral, gesa Kerajaan Negeri salur bekalan air bersih
- Redzuan Shamsudin

- Mar 29
- 2 min read

KEADILAN Sarikei bersama sayap Wanita dan Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Sarawak tampil menghulurkan bantuan air mineral kepada penduduk rumah panjang di sekitar Jalan Sungai Mawang, Jalan Sungai Rusa dan Ulu Ribong yang berdepan krisis kekurangan air.
Ketua Cabang KEADILAN Sarikei, Bruce Yee berkata, bantuan itu disalurkan selepas pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada penduduk yang berdepan keadaan hampir dua minggu tanpa hujan.
"KEADILAN Sarikei menerima panggilan pertolongan daripada penduduk di kawasan sepanjang Jalan Sungai Mawang bahawa kawasan mereka hampir dua minggu tiada hujan dan amat memerlukan air mineral," katanya dalam satu kenyataan.
Menurut beliau, tangki tadahan air di rumah panjang semakin kehabisan, manakala paras air sungai berhampiran juga semakin cetek dan keruh.
Beliau berkata, sebanyak 120 pintu melibatkan hampir 500 penduduk terjejas, dengan kebanyakan mereka masih tidak menikmati bekalan air bersih walaupun telah menetap di kawasan itu sejak puluhan tahun.
"Ada rumah panjang yang mempunyai sejarah lebih 80 tahun, namun sehingga hari ini masih belum dibekalkan air bersih yang merupakan keperluan asas," katanya.
Tambahnya, kehidupan penduduk amat mencabar terutama ketika musim kemarau apabila mereka terpaksa bergantung kepada air hujan untuk kegunaan harian dan mandi di sungai yang ada kalanya terletak sejauh dua kilometer.
Dalam pada itu, beliau turut mendedahkan keadaan menyayat hati melibatkan sebuah keluarga warga emas yang tinggal di pondok usang tanpa bekalan elektrik dan air bersih.
"Apa yang menyayat hati ialah kami menemui sepintu rumah warga emas bersama enam ahli keluarga yang tinggal di pondok kayu sangat usang tanpa bekalan elektrik dan air bersih," ujarnya.
Menurut beliau, keluarga tersebut yang tidak memiliki dokumen kewarganegaraan turut berdepan kesukaran mendapatkan bantuan kerajaan dan akses pendidikan.
"Selepas saya membantu membuat semakan bantuan STRnya, saya terkejut warga emas ini telah tercicir dari bantuan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) selama ini. Pasangannya pula tidak layak sebarang bantuan kerajaan kerana masih berstatus tiada dokumen kewarganegaraan," katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata penduduk di rumah penjang berkenaan berkata masih tidak menikmati bekalan air bersih walaupun kawasan mereka terlibat dalam pembangunan empangan sejak 2009.
"Menurut penduduk di menua ini, wakil rakyat mereka hanya memberi janji-janji manis dan harapan kosong untuk projek bekalan air bersih ke setiap pintu di menua ini apabila musim pilihanraya tiba," katanya.
Sehubungan itu, beliau menyeru agar isu bekalan air bersih diberi perhatian serius dan tidak dijadikan sekadar janji pilihan raya.
"Saya menyeru semua komuniti agar bersatu dan menilai semula wakil rakyat yang gagal menunaikan janji, khususnya berkaitan keperluan asas seperti bekalan air bersih," katanya.




Comments