KEADILAN persoal kewibawaan MB Ismail Lasim susulan isu proklamasi takhta


Kerajaan Negeri Sembilan didesak menjelaskan percanggahan pendirian berhubung Surat Cara Proklamasi penurunan takhta Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.
Timbalan Setiausaha Agung KEADILAN, Saifuddin Shafi Muhammad (gambar) berkata, pengiktirafan proklamasi tersebut seperti yang dilapor media semalam menimbulkan persoalan kerana bercanggah dengan pendirian Menteri Besar, Datuk Ismail Lasim sebelum ini.
"Pada 9 September lalu, Ismail mengesahkan menandatangani Surat Cara Proklamasi berkenaan namun mendakwa dibuat tanpa kerelaan dan secara paksaan.
"Beliau membuat laporan polis dan ketika itu turut menyatakan dokumen tersebut tidak sah, tidak berperlembagaan serta tidak boleh dikuatkuasakan.
"Namun pada 16 September, mesyuarat Exco dipengerusikan Menteri Besar yang sama pula dilaporkan membuat keputusan kolektif untuk menjunjung ketetapan Undang Yang Empat dan mengiktiraf kesahihan proklamasi tersebut," katanya dalam kenyataan.
Menurut Saifuddin, perubahan pendirian tersebut yang berlaku dalam dalam tempoh seminggu merupakan percanggahan serius dan rakyat berhak mengetahui apa sebenarnya yang berlaku.
Justeru beliau menggesa Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjalankan siasatan menyeluruh termasuk mendapatkan keterangan daripada Menteri Besar serta anggota Exco yang terlibat dalam keputusan tersebut.
"Seorang Menteri Besar tidak boleh mendakwa dirinya dipaksa, membuat laporan polis namun kemudian beberapa hari selepas itu mempengerusikan mesyuarat yang menerima kesan daripada dokumen yang sama tanpa penjelasan tuntas.
"Jika percanggahan sebesar ini tidak dapat dijelaskan dengan meyakinkan, maka persoalan mengenai kewibawaan beliau untuk terus menerajui Kerajaan Negeri sememangnya akan timbul," tambahnya.
Menerusi kenyataan tersebut, Saifuddin turut mengingatkan bahawa Institusi Raja Raja Melayu bukan alat politik. Beliau turut menuntut pimpinan Umno dan Pas Negeri Sembilan tampil menjelaskan pendirian mereka terhadap isu tersebut.
"Kesetiaan Kepada Raja Dan Negara tidak memadai dengan hanya slogan di pentas politik. Ia mesti diterjemahkan melalui tindakan yang konsisten, penghormatan kepada Perlembagaan dan keberanian mempertahankan keluhuran institusi diraja," tambahnya.




Comments