top of page

KEADILAN perlu dekati ‘ekonomi perut’ rakyat, bukan sekadar ‘ekonomi periuk’

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 2 hours ago
  • 3 min read

KEADILAN perlu memperkukuh komunikasi dan penerangan kepada rakyat dengan memberi tumpuan kepada isu yang benar-benar dirasai dalam kehidupan seharian, bukan sekadar membentangkan pencapaian ekonomi dalam bentuk angka makro, kata Ketua Penerangan KEADILAN, Datuk Seri Fahmi Fadzil (gambar).


Beliau berkata, teguran yang diterimanya selepas pembentangan usul pada Kongres Nasional KEADILAN 2026 menjadi dorongan untuk beliau memperbaiki kelemahan dari aspek penyampaian dan komunikasi.


"Saya mohon maaf dari hujung kepala hingga ke hujung kaki kepada semua perwakilan, delegasi, pimpinan di atas kekurangan, kelemahan, ketidaksempurnaan penyampaian sama ada komunikasi atau penerangan," katanya dalam ucapan penggulungan Ketua Penerangan di Kongres Nasional KEADILAN 2026 di MITC, Melaka.


Fahmi berkata, ramai anggota parti berpandangan bahawa pencapaian kerajaan dan dasar yang dibawa Perdana Menteri merangkap Presiden KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama pasukannya masih belum difahami sepenuhnya oleh rakyat.


Menurutnya, pengalaman turun padang termasuk di Negeri Sembilan menunjukkan wujud jurang besar dalam komunikasi apabila fakta dan pencapaian ekonomi yang disampaikan tidak semestinya diterjemahkan kepada emosi serta pengalaman rakyat.


"Ringkasnya dalam beberapa perbincangan saya mendapati bahawa banyak angka yang kita bentangkan, persembahkan, pertumbuhan KDNK suku kedua 6%, tahap pengangguran, perdagangan, rizab antarabangsa, hasil kerajaan, pelaburan, ini untuk mudah bercerita, saya ringkaskan sebagai ‘ekonomi periuk’," katanya.


Beliau menjelaskan ‘ekonomi periuk’ merujuk kepada pencapaian ekonomi pada peringkat makro yang penting kepada negara tetapi mungkin masih jauh daripada kehidupan harian rakyat.


"Ia menceritakan situasi semasa ikut sistem tetapi tidak dirasai oleh individu. Ramai perwakilan membahas semalam sentuh hal ini.


"Pencapaian kita tidak kurang dalam isu ekonomi periuk, apa bezanya yang dekat dengan rakyat ialah 'ekonomi perut'," katanya.


Menurut Fahmi, isu seperti gaji, kos sara hidup dan BUDI95 merupakan antara perkara yang lebih dekat dengan kehidupan rakyat dan perlu diberi perhatian dalam strategi komunikasi parti.


"Semalam ramai perwakilan yang menyentuh tentang gaji, kos sara hidup, BUDI95 dan perkara seperti itu," katanya.


Beliau berkata, pendekatan tersebut penting bagi membolehkan KEADILAN berdepan politik emosi yang dimainkan pihak tertentu untuk menimbulkan ketakutan dalam kalangan rakyat.


"Kita lihat hari ini ada keadaan di mana perut rakyat tidak selesa. Maka apa yang disediakan, kejayaan mengumpulkan semua perkara baik mungkin tak sampai ke perut, tak masuk ke hati," katanya.


Fahmi berkata, kepimpinan parti perlu memahami perkara yang benar-benar menekan kehidupan rakyat, manakala ketua-ketua cabang perlu berperanan sebagai ‘mata dan telinga’ untuk menyampaikan suara serta keresahan rakyat kepada pimpinan.


"Maka perlu diubati perut, perlu diatasi isu-isu yang menyentuh emosi rakyat.


"Jadi ini yang menjadi keutamaan pasukan, supaya segala kebaikan yang telah berjaya kita lakukan akhirnya dapat dimasak dan dinikmati oleh rakyat," katanya.


Beliau memberi perumpamaan bahawa seseorang yang mengalami sakit perut mungkin tidak mampu menikmati makanan yang baik walaupun makanan tersebut sedap dan berkhasiat.


Dalam perkembangan sama, Fahmi memberi perhatian terhadap penyebaran kandungan palsu dan akaun palsu di media sosial yang menurutnya semakin digunakan untuk memainkan sentimen, khususnya menjelang pilihanraya.


Katanya, sehingga semalam, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah mengenal pasti serta menurunkan lebih 8,410 akaun palsu yang memainkan isu 3R.


"Hampir setiap hari 100 akaun palsu di media sosial yang cuba mengapi-apikan sentimen telah dikesan dan akan diturunkan. Maka dengan kerjasama rakan-rakan kita akan terus membasmi akaun palsu ini supaya isu-isu dan motif tidak dimainkan," katanya.


Fahmi berkata modus operandi yang digunakan termasuk menghasilkan akaun palsu seolah-olah dikendalikan individu sebenar, menggunakan gambar tertentu sebelum hantaran dipadam, manakala tangkap layar hantaran berkenaan kemudian disebarkan.


"Kita semak nama sama, gambar sedikit berbeza tetapi orangnya orang yang lain," katanya.


Pada masa sama, Fahmi mengulas seruan presiden untuk merangkul semula tokoh-tokoh lama dalam perjuangan reformasi bagi memperkukuh kekuatan parti.


Beliau menyebut mengenai mantan Naib Presiden KEADILAN Tian Chua yang semalam menghadiri kongres dan lebih banyak 'reformis lama' yang diharapkan kembali memperkukuh parti.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page