KEADILAN perhebat kesiapsiagaan jentera hadapi PRN Melaka, Johor
- Azuan Ab Rahman
- Mar 2
- 1 min read

Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) terus memperkukuh tahap kesiapsiagaan jentera nya sebagai persiapan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor yang dijangka berlangsung dalam masa terdekat.
Timbalan Setiausaha Agung KEADILAN, Saifuddin Shafi Muhammad (gambar) berkata, Bengkel Pemantapan Jentera telah dianjurkan di Hotel Traders, Muar, Johor pada Ahad sebagai sebahagian daripada usaha menyusun strategi dan memperkemas gerak kerja di peringkat akar umbi.
Menurut beliau, kemenangan dalam politik tidak boleh digapai hanya dengan retorik semata-mata, sebaliknya memerlukan perancangan yang teliti, kerja berpasukan yang mantap serta komitmen berterusan daripada seluruh jentera parti.
Kesiapsiagaan yang menyeluruh dan disiplin organisasi yang kukuh akan menjadi kunci penting dalam memastikan KEADILAN tampil lebih tersusun dan meyakinkan menjelang PRN nanti.
"Harapan saya, ruang ini menjadi suntikan semangat buat seluruh jentera agar kita tidak leka, tidak berpecah dan sentiasa kekal fokus terhadap matlamat perjuangan," katanya menerusi satu hantaran di media sosial.
Antara yang hadir ke program itu antaranya Naib Presiden KEADILAN Datuk Seri Amirudin Shari, Saudara Adam Adli Abdul Halim selaku Pemangku MPN Melaka, serta Pengerusi MPN KEADILAN Johor Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa.
Penggal pentadbiran Kerajaan Melaka sedia ada dijadualkan berakhir pada tahun ini, dengan Dewan Undangan Negeri (DUN) akan dibubarkan bagi memberi laluan kepada PRN.
Manakala Penggal pentadbiran di Johor pula bakal berakhir secara automatik pada April 2027.
