top of page

KEADILAN: Lambang di Dada, Beban di Bahu

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 21 hours ago
  • 6 min read

Oleh: Syafiq Sunny


ULASAN: Lambang di dada mudah dipakai. Ia kelihatan pada baju, pada bendera, pada poster ketika kempen. Tetapi di sebalik lambang itu, ada beban yang tidak semua orang nampak — beban harapan berjuta rakyat yang meletakkan kepercayaan pada satu nama: KEADILAN.


Selepas 23 tahun, saya rasa sudah tiba masa untuk berhenti sekejap dan tanya diri sendiri: adakah saya masih layak memikul beban itu, atau saya cuma selesa memakai lambangnya sahaja?


Minggu ini ulang tahun penubuhan PARTI KEADILAN RAKYAT.


Bagi sesetengah orang, KEADILAN sebuah parti — lambang, perlembagaan, cabang, jawatan, calon. Betul, tetapi tak cukup.


Bagi saya, KEADILAN sebahagian daripada hidup. Saya membesar dengan reformasi berlegar di sekeliling — perjuangan yang lahir daripada kemarahan terhadap ketidakadilan, membesar kerana keberanian orang biasa yang enggan berdiam diri.


Ramai menyertai kerana jawatan, calon, atau jalan ke kuasa. Saya tidak pernah minta apa-apa daripada KEADILAN — sayalah yang terus memberi masa, tenaga, pemikiran, kesetiaan, kadang wang yang tidak seberapa, kadang keberanian yang tidak pasti lagi berbaki.


Saya terus memberi walaupun ada yang kata sia-sia. Sebab tidak semua yang kita cintai perlu membayar kita kembali. Tetapi pada ulang tahun ini, saya mahu jujur dengan diri sendiri dulu.


Dari Anwar, Wan Azizah, Lahir KEADILAN


Reformasi bermula dengan ketidakadilan nyata: Anwar Ibrahim, timbalan perdana menteri ketika itu, dipecat dan dipenjarakan atas tuduhan yang dipertikaikan ramai sehingga kini.


Tetapi perjuangannya bermula lebih awal — 1974, sebagai pemimpin pelajar, mengetuai bantahan di Baling, Kedah menentang kebuluran, dan ditahan buat kali pertama di bawah ISA. Dua puluh empat tahun kemudian, sejarah berulang dengan taruhan lebih besar.


Daripada kemarahan itu lahir Parti Keadilan Nasional pada 1999 — bukan ditubuhkan oleh Anwar, tetapi isterinya, Dr Wan Azizah Wan Ismail. Sebelum itu, beliau doktor mata, seorang isteri, ibu kepada enam anak. Bila suaminya dipenjarakan, beliau bangkit — bukan kerana mahukan kuasa, tetapi keadilan untuk keluarganya.


Kisah ini patut lebih kerap dikongsikan kepada ibu-ibu dan wanita — bukan cerita jawatan, tetapi seorang isteri yang bangun mempertahankan keluarganya, sebelum sedar dirinya mempertahankan sebuah bangsa.


Itulah asal-usul KEADILAN — lahir daripada kesakitan sebuah keluarga yang menjadi kesakitan seluruh bangsa.


Saya masih percaya mitos lama


Selepas bertahun-tahun dalam KEADILAN, saya sedar saya masih pegang satu mitos yang indah, tetapi salah. Ceramah, ucapan, pidato — saya sentiasa hadir. Tugas saya baca dasar kerajaan, terangkan semula dalam bahasa mudah. Tapi entah bila, saya mula sangka — kalau saya terangkan cukup jelas, rakyat akan “nampak kebenaran” dan kembali menyokong.


Bukti tunjuk sebaliknya. Orang yang tonton debat televisyen tidak semestinya mengundi berbeza selepas itu. Bila isu sudah jadi politik, maklumat baharu jarang menggeser pendirian seseorang.


Jadi saya perlu berhenti tanya, “Kenapa orang tak faham?” Soalan lebih jujur ialah kenapa saya masih percaya kefahaman datang semata-mata melalui penerangan?


Manusia tidak berubah melalui hujah semata-mata


Saya sangka manusia berfikir dulu, baru bertindak. Rupanya terbalik — kita bertindak dulu, fikiran menyusul untuk selaraskan diri dengan apa yang sudah kita buat.


Bila kepercayaan dan tindakan bercanggah, otak rasa tidak selesa — ia lebih suka ubah kepercayaan.


Saya sendiri pernah begini. Fikiran saya berubah bukan sebab hujah baharu, tetapi sebab pengalaman hidup saya sendiri berubah dulu. Kalau ini berlaku pada saya, kenapa saya sangka orang lain akan berubah sebab saya menulis?


Rakyat percaya cerita sebab ia sampai melalui saluran yang mereka biasa percayai — jiran, keluarga, kawan rapat, bukan artikel saya. Reformasi sendiri menang bukan sebab hujah di dewan debat, tapi sebab pengalaman ketidakadilan dikongsi sesama rakyat.


Islah dalam parti patut berjalan macam itu — bukan sebab satu ucapan power, tapi bila anggota rasa perubahan dalam cara kita berurusan sesama sendiri.


Saya kena dengar, fahami orang lain


Saya selalu anggap tugas saya menerangkan. Tapi mungkin tugas lebih penting ialah mendengar dulu — cara paling berkesan mengubah fikiran seseorang bukan hujah lebih kukuh, tetapi mendengar cerita hidup mereka tanpa menghakimi. Bila seseorang rasa didengar, barulah dia bersedia mendengar balik.


Saya sendiri sebahagian daripada orang yang saya cuba fahami — saya juga rasa kos hidup naik, ada hutang dan bebanan bulanan. Kerajaan pun, macam kita, cuma mampu berusaha: 'in uridu illal-islah mastata’tu', kata Nabi Syuaib a.s. dalam Surah Hud, ayat 88 — aku hanya mahu melakukan pembaikan sedaya upaya termampu.


Adakah saya pernah terangkan ini kepada kelompok yang sama — orang yang hadapi kesusahan serupa? Mungkin ada yang lupa keperitan ini, bukan sebab jahat, tetapi sebab tak alami apa yang saya rasa. Islah sepatutnya bermula di sini. Dengar dulu, faham dulu, baru bercakap.


Saya juga makin jauh daripada komuniti


Kita hadapi krisis yang jarang dibincang: semakin ramai hidup dalam pengasingan sosial.


Bila terasing terlalu lama, kemahiran sosial merosot — interaksi terasa meletihkan, kita jadi cepat curiga. Saya pun alami ini. Mungkin saya lebih cepat anggap orang lain “tak faham” — bukan sebab mereka salah, tapi sebab saya sendiri hilang kemahiran melihat mereka sebagai manusia, bukan sekadar angka sokongan.


Kos sara hidup naik, orang berpindah jauh, ruang berkumpul makin susah. Kita beralih ke skrin, kepercayaan sesama kita merosot.


Malaysia MADANI ada satu nilai paling dekat dengan ini — Ihsan, belas kasihan sesama manusia. Sebagai anggota parti, kitalah yang patut menjiwainya dulu, sebelum minta rakyat percayakannya — ia tak boleh diisytiharkan di atas kertas, ia perlukan hubungan dibina satu demi satu di ruang sebenar, bukan grup WhatsApp.


Bila kali terakhir saya duduk berbual panjang dengan seseorang di luar bulatan saya, sekadar kerana rindu berhubung sesama manusia?


Berhenti jual sejarah, mula jual pengalaman


Saya selalu bercakap sejarah reformasi — tahanan, pemecatan, penganiayaan. Penting untuk saya secara peribadi.

Tetapi orang hari ini tak hidup dalam sejarah saya sahaja — mereka hidup dengan sewa rumah, harga makanan, sekolah anak, urusan hospital. Sejarah jelaskan siapa kita, tapi pengalaman rakyat hari ini tentukan sama ada mereka mahu berjalan bersama kita.


Pengalaman itu sepatutnya ada bukti. Harga petrol dikekalkan supaya kereta rakyat sentiasa ada bahan api. RM100 di bawah STR mungkin kecil di atas kertas, tapi cukup seorang ibu isi periuk seminggu. Di Negeri Sembilan, data eKasih tunjukkan tiada lagi keluarga fakir miskin tegar. Di Selangor, bantuan sampai terus kepada rakyat yang perlu.


Ini kerja yang perlu berterusan — kepercayaan tak boleh diwarisi, ia perlu diperoleh semula setiap hari. Sayalah yang berkewajipan pastikan pengalaman mereka hari ini mencerminkan perjuangan itu.


Tindakan kecil yang buka pintu


Dasar sahaja tidak cukup. Kalau saya nak orang percaya sesuatu, saya tidak boleh sekadar memberitahu — saya perlu bagi tindakan kecil, langkah permulaan yang buka jalan kepada perubahan.


Jangan cuma cakap kerajaan prihatin — pastikan orang rasa keprihatinan itu melalui kehadiran saya: datang, dengar, tolong selesaikan masalah. Jangan cuma cakap perpaduan— bina ruang masyarakat berlainan latar selesaikan masalah bersama.


Jangan cuma minta orang percaya ekonomi pulih — bantu mereka nampak peluang melalui tindakan konkrit. Jangan cuma datang bila nak minta undi. Datanglah bila jalan rosak, bantuan tak sampai, anak muda cari kerja, atau seorang ibu tak tahu pintu mana nak diketuk.


Saya tak perlu selesaikan semua seorang diri. Tapi saya mesti pastikan orang tak dibiar bersendirian selepas minta tolong.


Tunduk bukan tanda kalah


Saya selalu kata kita perlu tunduk. Tapi tunduk untuk apa? Bukan tunduk kepada ketidakadilan, fitnah, atau politik lama.

Saya tunduk sebab saya bawa beban harapan orang ramai — supaya nampak mereka yang tak kelihatan dari atas pentas: petugas bekerja keras tapi tak dapat tempat, anggota setia tetapi tiada akses pemimpin, mereka pernah percaya kita lalu berhenti datang.


Tunduk juga bermakna dengar mereka yang kecewa, tanpa paksa mereka puji pencapaian kita dulu. Sebab tunduk yang sebenar membolehkan saya bezakan antara mempertahankan perjuangan, dengan mempertahankan ego.


Ulang tahun sebagai cermin


Ulang tahun bukan sekadar masa kenang sejauh mana kita sudah berjalan. Ia juga masa tanya — adakah saya masih berjalan ke arah yang betul? Ulang tahun tak sepatutnya jadi perayaan diri sendiri — ia sepatutnya jadi cermin yang jujur.


Adakah saya masih pegang nilai yang saya perjuangkan dulu, atau sekadar mengulang kata kata lama tanpa rasa? Adakah saya dihargai kerana kerja, atau cuma dicari bila musim pilihanraya? Adakah saya sanggup ditegur oleh orang bawahan, sama seperti saya berani tegur orang atasan?


Saya tidak boleh jawab semua ini dengan slogan. Jawapannya ada dalam pengalaman sebenar orang yang berurusan dengan saya.


KEADILAN mesti dirasai


Nama parti kita KEADILAN — bukan sekadar nama, tapi ukuran yang orang ramai akan guna menilai saya. Mereka menilai bukan melalui ucapan saya sahaja, tapi cara saya melayan mereka, peluang yang saya bantu mereka dapatkan, pintu yang saya buka atau tutup.


Keadilan tidak cukup diperjuangkan di atas pentas — ia perlu dirasai dalam kehidupan seharian.


Pada ulang tahun ini, saya tiada permintaan daripada parti. Walau tidak diminta, tidak didengari, tidak diwujudkan, saya tetap mahu bagi yang terbaik. Mendapat kuasa tidak pernah mencerminkan siapa saya — saya tidak mahu kuasa untuk diri sendiri, saya mahu KEADILAN yang berkuasa untuk memimpin.


Saya berharap bukan sekadar jadi anggota parti yang membawa KEADILAN ke tampuk kuasa, tetapi manusia yang tahu apa perlu dibuat selepas itu. Pakailah lambang dengan bangga, tetapi jangan biar kebanggaan buat saya lupa tunduk — ia janji saya mesti terus jadi lebih baik untuk mereka.


KEADILAN akan terus hidup apabila orang ramai rasa saya masih mencintai mereka — bukan melalui kata-kata, tetapi pengalaman hidup yang kita bina bersama.


Beberapa hari lagi, KEADILAN berkongres di Melaka — tanda kita bersedia turun bertanding (pilhan raya negeri) sekali lagi.


Datanglah, bukan sekadar sebagai anggota parti, tapi sebahagian daripada masyarakat, komuniti, dan pasukan perubahan yang kita bina bersama.


Nota ini ditulis untuk diri sendiri — bahawa fikiran politik jarang berubah melalui perdebatan, tetapi melalui hubungan, pengalaman hidup, dan tindakan bersama.


Penulis merupakan Ketua Penerangan KEADILAN Wilayah Persekutuan

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page