KEADILAN Kedah gerak strategi perkukuh kekuatan parti
- 2 hours ago
- 1 min read

Oleh: Azuan Ab Rahman
Majlis Pimpinan Negeri (MPN) KEADILAN Kedah menjunjung hasrat Presiden KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mahu negeri itu menjadi sebagai antara kubu utama dalam meneruskan perjuangan reformasi.
Pengarah Komunikasinya, Tunku Nashrul Abaidah (gambar) berkata, KEADILAN Kedah menggarap iltizam untuk muncul sebagai alternatif terbaik kepada rakyat negeri itu dengan membawa politik berteraskan penyelesaian, kepimpinan berintegriti serta tadbir urus yang adil dan berwibawa demi kesejahteraan rakyat secara keseluruhan.
Justeru, usaha mengembalikan peranan Kedah sebagai benteng penting KEADILAN akan digerakkan secara lebih berfokus melalui perancangan strategik, pengukuhan organisasi serta kesatuan seluruh pimpinan dan anggota di setiap cabang selari kedudukan parti yang semakin mantap serta tersusun.
"KEADILAN Kedah akan memberi tumpuan kepada pengukuhan struktur kepimpinan dan kesiapsiagaan jentera parti bagi memastikan gerak kerja lebih berkesan dan berterusan.
"Pendekatan itu termasuk menyatukan pengalaman pimpinan terdahulu dengan semangat generasi baharu
"Gabungan pemimpin berpengalaman dan tenaga baharu mampu memperkukuhkan kekuatan organisasi serta meningkatkan keberkesanan gerak kerja pada semua peringkat," katanya dalam satu kenyataan.
Terdahulu, Anwar melihat Kedah berpotensi untuk ditawan semula berdasarkan keupayaan parti pada masa ini yang disifatkan berada pada tahap terbaik dan mahu kekuatan parti di negeri itu dibina dan dijana semula.
Sementara itu, Tunku Nashrul berkata, KEADILAN Kedah akan terus mengambil pendekatan berteraskan fakta, penyelesaian yang jelas dan pembelaan terhadap kepentingan serta keperluan rakyat.
Dalam masa sama, usaha menyantuni rakyat tanpa mengira latar belakang juga akan dipertingkatkan melalui pengukuhan hubungan pada peringkat akar umbi.
"Selain itu, perjuangan ke arah tadbir urus yang adil, telus dan berwibawa akan terus diperkasakan sejajar aspirasi reformasi parti," tambahnya.





