Oleh: Hassan Abdul Karim
Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) kini benar-benar diuji ketahanannya. Jika KEADILAN diibaratkan sebuah kapal, maka bahtera KEADILAN kini sedang dilambung ombak dan dipukul badai di lautan yang bergelora.
Masakan tidak. Dalam masa dua minggu di bulan Mac 2021 ini sahaja, KEADILAN telah hilang tiga orang Ahli Parlimennya yang meninggalkan parti dan melompat menyokong Kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinannya Perdana Menteri (PM) Tan Sri Mahyuddin Yassin. Amat menakutkan dan ngeri memikirkan sejak setahun lalu bermula dari Langkah Sheraton di minggu terakhir bulan Februari 2021, hingga ke saat ini belasan orang Ahli Parlimen KEADILAN telah menggugurkan perjuangan reformasi dengan pelbagai alasan diberi. Secara yang agak keterlaluan dan berlebih-lebihan saya sudah “lost count” bilangan Ahli Parlimen KEADILAN yang melompat.
Sebagai seorang anggota kerdil KEADILAN dan seorang Ahli Parlimen biasa KEADILAN, saya dapat menyaksikan sekarang bagaimana rakan-rakan Ahli Parlimen kami dilambung ombak dengan janji-janji jawatan ataupun dipukul badai dengan ancaman tangkapan Polis dan SPRM. Dan amat memilukan apabila saya membaca komen-komen dari rakan-rakan Ahli Parlimen di blok pembangkang dari parti sahabat KEADILAN yang mengutarakan pertanyaan seperti berikut: “Siapa lagi yang kita boleh percaya sekarang?” yang bermaksud ditujukan kepada Ahli-ahli Parlimen KEADILAN, setelah semalam 13 Mac 2021, Naib Presiden KEADILAN, Ahli Parlimen Kuala Langat, bekas seorang menteri dalam Kerajaan Pakatan Harapan (PH) dan merupakkan tokoh reformasi serta antara pengasas Parti Keadilan Nasional telah meninggalkan parti kerana ingin menyokong PM Muhyiddin.
KEADILAN dapat sokongan terbanyak
Namun malam tidak selamanya gelap memanjang. Esok pasti akan muncul siang, dan dunia akan kembali terang. Saya memujuk diri sendiri dan rakan-rakan anggota biasa KEADILAN di kawasan Parlimen saya, Pasir Gudang. Saya teringat sajak-sajak Said Zahari dan Kassim Ahmad yang menyeru para pejuang jangan patah semangat.
Lalu saya rujuk kembali akhbar Sinar Harian bertarikh 11 Mac 2021. Dari kaji selidik akhbar tersebut mendapati bahawa parti yang akan mendapat sokongan tertinggi dalam PRU 15 ialah Parti Keadilan Rakyat, sebanyak 14.4%. Manakala Parti PPBM (Bersatu) yang memimpin Kerajaan Perikatan Nasional sekarang, di mana tempat ahli-ahli KEADILAN melompat, berada di tempat yang agak tercorot, hanya memperolehi sokongan 5.08% (lebih rendah peratusannya berbanding parti MUDA pimpinan Ahli Parlimen Muar yang memperolehi 5.32%).
Secara kaveat, saya berwaspada iaitu kaji selidik atau survey hanyalah suatu kaji selidik atau survey. Belum tentu jadi fakta dan realiti sebenar nanti dalam PRU 15. Tetapi sekurang-kurangnya, bagi para penyokong KEADILAN boleh menarik nafas lega, iaitu jangan risau dengan fenomena bekas Ahli-ahli Parlimen KEADILAN yang melompat kerana mengejar mirage atau fatamorgana, atau takut dengan bayang-bayang sendiri dengan mimpi negeri dikejar SPRM atau bunyi siren polis serta tembok batu dan jeriji besi di Penjara Sungai Buloh yang menanti.
Antara belantan dan lobak
Dalam keadaan di mana ahli-ahli politik pembangkang sekarang, khususnya KEADILAN berdepan dengan polisi mafia, belantan dan lobak di dunia gelap seperti dalam filem Godfather yang mengamalkan ancaman (stick/belantan) dan pujukan (carrot/lobak), maka saya teringat kepada sejarah diri peribadi yang dilalui sendiri oleh Presiden KEADILAN, Anwar Ibrahim yang berbelas tahun masuk penjara.
Secara jujur saya menghormati Anwar Ibrahim dalam aspek ini. Dia tidak gentar dengan ancaman. Dia tidak boleh dibeli dengan tawaran kedudukan atau jawatan. Apabila difitnah, dia melawan. Dia melawan sehabis-habisnya di mahkamah undang-undang, sama ada di mahkamah jenayah atau mahkamah sivil. Dia melawan dengan penuh azam dan semangat juang seperti semangat yang ditunjukkan oleh hero dalam novel Bumi Manusia karya Pramoedya Ananta Toer, sasterwan terkenal Indonesia.
Ketika bekas Ahli-ahli Parlimen dari KEADILAN yang cuba menyelamatkan diri masing-masing dari pertuduhan dan penjara berebut-rebut terjun ke laut bergelora meninggalkan bahtera tetapi Anwar Ibrahim sebagai pemimpin KEADILAN, PH dan Pembangkang tetap teguh dengan pendiriannya. Beliau kini masih bertarung di mahkamah undang-undang perlembagaan untuk mempertahankan Perlembagaan Persekutuan dan Parlimen Malaysia. Kepada pemimpin seperti inilah sokongan akan diberi oleh rakyat Malaysia dalam PRU-15 nanti.
_________________________________________________________________________________
Penulis merupakan Ahli Parlimen Pasir Gudang
Comments