KEADILAN ambil perhatian setiap teguran, pandangan akar umbi
- Suara Keadilan

- Aug 16
- 1 min read

Parti KEADILAN akan mengambil perhatian kepada teguran dan pandangan disuarakan akar umbi pada Kongress Nasional 2026 yang berlangsung di Melaka.
Ketua Penerangan parti, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, teguran termasuk tindakan memperkasa strategi komunikasi parti dianggap penting bagi memastikan jentera parti bergerak lebih mantap sekaligus menambah baik cara menyampaikan maklumat kepada rakyat.
"Banyak teguran dan perkara yang perlu di muhasabah bagi memantapkan gerak kerja jentera, termasuk mengubah suai strategi untuk komunikasi dan penerangan.
"Sama seperti Yang Amat Berhormat Datuk Seri Anwar Ibrahim, saya dan ramai pimpinan juga mengambil sikap merendah diri, mendengar melakukan perubahan yang bermula daripada diri kami sendiri," katanya dipetik laporan media.
Beliau turut memaklumkan, beberapa perubahan bagi menambah baik penyampaian maklumat sedang dirancang. Ia antaranya merangkumi mekanisme mendapatkan maklumat mengenai isu yang paling dirasai rakyat supaya ia dapat disampaikan kepada pihak berkaitan untuk tindakan lanjut.
Sementara itu, Fahmi yang juga pengarah komunikasi Pakatan Harapan (PH) sementara itu berkata, beliau turut menghargai kesediaan ketua-ketua cabang KEADILAN yang mahu memainkan peranan lebih besar sebagai penyalur maklumat daripada peringkat akar umbi.
"Peranan itu memang sudah dimainkan sebelum ini, tetapi mungkin mereka memerlukan satu hubungan yang lebih formal untuk memastikan isu-isu di peringkat Parlimen dapat diketahui oleh kami di Putrajaya dan dapat diusahakan penyelesaiannya," jelasnya.




Comments