KEADILAN Alor Gajah raih Anugerah Ranting Tertinggi peringkat negeri
- Suara Keadilan

- 1 hour ago
- 1 min read

KEADILAN Cabang Alor Gajah meraih pengiktirafan Anugerah Ranting Tertinggi di peringkat negeri sempena Kongres Nasional Tahunan KEADILAN Ke-19 yang berlangsung di MITC, Melaka dari 14 hingga 16 Ogos lalu.
Pengiktirafan itu diberikan kepada Setiausaha Pengelola KEADILAN Cabang Alor Gajah, Saudara Ramli Abdul Ghani, sebagai penghargaan terhadap usaha memperkukuh organisasi parti hingga ke peringkat akar umbi.
Dalam satu kenyataan media, KEADILAN Cabang Alor Gajah berkata anugerah tersebut mencerminkan komitmen dan kerja keras seluruh anggota parti.
"Pengiktirafan ini bukan sekadar sebuah anugerah, tetapi merupakan hasil daripada usaha, komitmen, kesungguhan dan kerja keras dalam memperkukuh organisasi parti sehingga ke peringkat akar umbi," katanya.
KEADILAN Cabang Alor Gajah turut merakamkan penghargaan kepada seluruh kepimpinan dan anggota ranting yang bersama-sama menggerakkan gerak kerja parti.
"Ini adalah kejayaan bersama. Ia membuktikan apabila kepimpinan dan akar umbi bergerak dalam satu pasukan, organisasi dapat diperkasakan dan perjuangan KEADILAN dapat terus dibawa lebih dekat kepada rakyat," katanya.
Penghargaan turut diberikan kepada Ketua Cabang KEADILAN Alor Gajah, Mohd Khuzaire, atas dorongan, kepimpinan dan sokongan berterusan dalam usaha memperbanyakkan serta memperkukuh penubuhan ranting di kawasan berkenaan.
Menurut kenyataan itu, kejayaan tersebut diharap menjadi pemangkin kepada KEADILAN Cabang Alor Gajah untuk terus memperkukuh jentera akar umbi serta meningkatkan khidmat kepada masyarakat.
"Semoga pengiktirafan ini menjadi pemangkin untuk KEADILAN Cabang Alor Gajah terus mara, memperkukuh akar umbi dan memperhebatkan khidmat kepada rakyat," kata kenyataan itu lagi.




Comments