Keadaan politik Johor tidak stabil, maka bubar DUN?
- Hasbul Ahmad

- 1 hour ago
- 1 min read

Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dilihat sebagai sesuatu yang tidak diperlukan ketika negeri ini berada dalam keadaan stabil dan negara sedang memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh ekonomi serta menghadapi ketidaktentuan global.
Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri KEADILAN Johor, Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa (gambar) berkata, keputusan untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor menimbulkan persoalan memandangkan kerajaan negeri sebelum ini memiliki majoriti yang kukuh dan pentadbiran berjalan dengan lancar.
"Kalau mereka kata keadaan politik di Johor tidak stabil, tidak stabil yang bagaimana?
"Kita tahu pembangunan Johor berjalan dengan baik dan kerajaan negeri mempunyai majoriti yang besar," katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Jentera Pakatan Harapan Johor di Batu Pahat.
Menurut Dr Zaleha, dalam keadaan negara masih berdepan cabaran ekonomi global, keutamaan seharusnya diberikan kepada usaha memperkukuh ekonomi dan membantu rakyat, bukannya mengadakan pilihanraya lebih awal daripada tempoh mandat yang masih berbaki.

Bagaimanapun, katanya, BN telahpun membubarkan DUN dan Pilihan Raya Negeri tetap akan diadakan.
Oleh itu, beliau menyeru seluruh jentera Pakatan Harapan Johor supaya bersiap sedia menghadapi PRN dengan penuh keyakinan dan menjadikan rekod pencapaian kerajaan sebagai modal utama untuk meyakinkan pengundi.
"Kita tidak kekurangan pemimpin yang berwibawa dan calon yang mampu berkhidmat kepada rakyat.
"Yang penting sekarang ialah memastikan rakyat Johor memahami bahawa masa depan negeri ini perlu dibina berasaskan kestabilan, pembangunan dan kemakmuran bersama," katanya.
Dr Zaliha turut menyatakan keyakinan bahawa semangat serta kesediaan jentera Pakatan Harapan di seluruh Johor akan menjadi kekuatan penting dalam usaha meraih sokongan rakyat dan membentuk kerajaan negeri yang lebih progresif serta selari dengan agenda pembangunan nasional.




Comments