top of page

KDNK SG4 RM700 bilion: Masalah bekalan air selesaikan dulu - Akmal

Writer: Azuan Ab Rahman
Azuan Ab Rahman
8 hours ago
2 min read
Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir
Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir

Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir menyeru negeri-negeri pembangkang dalam gabungan SG4 supaya memberi perhatian kepada usaha menyelesaikan isu bekalan air.


Menurutnya, kekangan di negeri khususnya Kedah dan Kelantan itu boleh menjejaskan usaha membangunkan ekonomi tempatan dan menarik lebih banyak pelaburan ke negeri berkenaan.


"Saya bimbang tentang isu bekalan air di Kedah yang mencatatkan rizab margin kosong peratus. Begitu juga dengan masalah bekalan air di Kelantan.


"Bagaimana untuk membangunkan ekonomi tempatan dan menarik pelaburan dengan lebih rancak tanpa kemudahan infra asas seperti ini?" katanya menerusi kenyataan.


Kenyataan itu sebagai mengulas sasaran diketengahkan dalam SG4 Business & Economic Forum 2026 baru- baru ini untuk mencapai Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) berjumlah RM723.75 bilion menjelang 2050.


Beliau yang juga Ahli Parlimen Johor Bharu sementara itu menegaskan, usaha mencapai sasaran ekonomi yang besar memerlukan perancangan berdaya maju, peningkatan produktiviti serta pelaksanaan projek dan pelaburan yang berkesan.


Kerajaan Persekutuan menurutnya memperuntukkan RM7.70 bilion bagi perbelanjaan pembangunan untuk empat negeri berkenaan pada 2025, berbanding gabungan anggaran belanjawan pembangunan negeri sekitar RM1.13 bilion.


"Komitmen pembangunan itu diteruskan menerusi Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13) 2026-2030, sebanyak 1,487 projek pembangunan diluluskan bagi Kedah, Kelantan, Terengganu dan Perlis dengan kos keseluruhan RM71.52 bilion.


"Peruntukan siling pembangunan bagi negeri-negeri itu di bawah Rolling Plan Kedua (RP2) 2027 turut meningkat kepada RM8.11 bilion berbanding RM7.98 bilion di bawah Rolling Plan Pertama (RP1) 2026 mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan Persekutuan untuk menyokong pelaksanaan projek pembangunan, termasuk dalam memperkukuh infrastruktur dan kemudahan asas," jelasnya.


Sementara itu menurut Akmal, dari sudut pelaburan, data Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) bagi 2025 menunjukkan empat negeri itu merekodkan RM37.23 bilion pelaburan diluluskan dengan potensi mewujudkan 18,319 peluang pekerjaan.


Bagaimanapun, beliau mengingatkan bahawa kelulusan pelaburan tidak bermakna projek sudah siap, manakala potensi pekerjaan tidak bermaksud peluang itu telah direalisasikan.

"Tatkala peruntukan pembangunan (DE) Persekutuan serta projek-projek pembangunan yang dibiayai Persekutuan giat dilaksanakan untuk menyokong pertumbuhan ekonomi di negeri Kedah, Perlis, Kelantan dan Terengganu, adalah wajar permasalahan dalam bentuk infrastruktur asas seperti bekalan air diberi perhatian sewajarnya oleh semua pihak yang berkenaan," ujarnya.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page