top of page

Komuniti India dibantu RM300 juta dana AIM, TEKUN, MITRA

Writer: Akmal Manaf
Akmal Manaf
40 minutes ago
2 min read
Datuk Seri Fahmi Fadzil ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan Majlis Serahan Bantuan Deepavali Sentosa di Taman Sri Sentosa, Jalan Klang Lama, Kuala Lumpur
Datuk Seri Fahmi Fadzil ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan Majlis Serahan Bantuan Deepavali Sentosa di Taman Sri Sentosa, Jalan Klang Lama, Kuala Lumpur

Kerajaan MADANI menyediakan pelbagai bentuk bantuan dan peruntukan bagi memperkasa komuniti India, termasuk RM150 juta menerusi Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) dan Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga Nasional (TEKUN) serta RM150 juta lagi kepada Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA).


Jurucakap Kerajaan, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata pelbagai inisiatif telah diumumkan khusus untuk komuniti India, termasuk bagi membantu pengusaha perniagaan kecil melancarkan operasi perniagaan mereka.


"Ini kita percaya dapat membantu terutama mereka yang merupakan pengusaha perniagaan kecil. Mereka dapat memanfaatkan jumlah untuk membantu melancarkan perniagaan termasuk membeli peralatan dan sebagainya yang mengikuti dan menepati syarat bagi AIM dan TEKUN.


"Kedua, adalah berkaitan peruntukan kepada MITRA sebanyak RM150 juta. Ini merupakan satu peningkatan. Banyak maklum balas yang saya terima berkenaan dengan permohonan geran atau bantuan daripada MITRA ini melibatkan akses.


"Jadi insya-Allah saya akan sampaikan (maklum balas itu) kepada Datuk Seri R Ramanan yang merupakan menteri yang ditugaskan untuk menjaga MITRA.


"Selain bantuan yang diterima secara tidak langsung itu, (ia tetap) mendatangkan manfaat kepada komuniti, termasuk membaik pulih sekolah-sekolah jenis kebangsaan Tamil," katanya.


Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan Majlis Serahan Bantuan Deepavali Sentosa di Taman Sri Sentosa, Jalan Klang Lama, malam tadi.


Mengulas lanjut, Fahmi yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai berkata, ramai dalam kalangan masyarakat yang hadir pada majlis berkenaan merupakan penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR).


"Jadi untuk komuniti India, jumlah (bantuan) pun signifikan dan kita tahu ramai juga yang berkelayakan untuk mendapatkan bantuan bulanan SARA.


"Jadi, insya-Allah, banyak daripada usaha dan ikhtiar Kerajaan MADANI dapat dinikmati. Cuma, Datuk Seri Anwar minta terutama kepada Ahli Parlimen untuk memastikan komuniti tahu dan faham bahawa mereka banyak mendapat manfaat daripada program kerajaan," ujar beliau yang juga Menteri Komunikasi.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page