Ini cara Gen Z bekerja: Selesai isu kewangan persatuan nelayan dalam 24 jam


Sesuai dengan Generasi Z yang tidak suka bertele tela atau berbelit belit, calon Pakatan harapan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Linggi, Mukhlis Mubin, menyelesaikan beberapa isu kewangan persatuan nelayan di DUN berkenaan dalam tempoh 24 jam.
Dalam hantaran di Facebook, Mukhlis berkata beliau membawa isu membabitkan komuniti nelayan di kawasan itu kepada Setiausaha Politik Menteri Kewangan, Kamil Munim untuk perhatian dan tindakan susulan Kementerian Kewangan yang diterajui Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Katanya, usaha itu dilakukan selepas mengadakan pertemuan dengan Pengurus Besar Persatuan Nelayan Kawasan Melaka Barat yang mewakili komuniti nelayan Kuala Linggi bagi mendapatkan maklumat mengenai masalah yang memerlukan perhatian kerajaan.
"Menariknya, sebaik mendengar isu yang dibawa, Tuan Kamil terus mendapatkan perhatian PMX sendiri.
"Alhamdulillah, PMX turut menurunkan tandatangan pada surat tersebut bagi tindakan susulan seterusnya, insya-Allah," katanya.

Mukhlis turut merakamkan penghargaan kepada Kamil atas tindakan pantas membantu membawa isu komuniti nelayan berkenaan kepada perhatian pihak berkaitan.
Beliau berkata, komuniti nelayan Kuala Linggi yang memerlukan bantuan untuk menyuarakan masalah atau mendapatkan saluran penyelesaian yang betul boleh menghubunginya bagi membolehkan usaha membantu mereka digerakkan.
"Kepada mana-mana komuniti nelayan Kuala Linggi yang memerlukan bantuan untuk menyuarakan masalah atau mencari saluran yang betul, maklumkan kepada saya. Kita usahakan bersama," ujarnya.
Menggambarkan pendekatannya dalam menangani masalah penduduk, Mukhlis berkata beliau mahu memastikan setiap aduan yang diterima tidak sekadar didengar, sebaliknya dibawa kepada pihak berkenaan untuk tindakan lanjut.
"Semalam orang kampung suarakan, hari ini kita terus gerakkan penyelesaian.
"Kalau perlu sampai ke meja Perdana Menteri sekalipun, saya sanggup redah demi Kuala Linggi.
"Begini caranya Gen Z bekerja," tegasnya.




Comments