Isu dasar, jurang ekonomi jangan kaitkan dengan kaum - Yuneswaran


Isu dasar kerajaan, jurang ekonomi dan jenayah tidak seharusnya terus dikaitkan dengan kaum atau agama kerana tindakan sedemikian boleh menjejaskan keharmonian masyarakat berbilang kaum, kata Timbalan Menteri Perpaduan Negara, R Yuneswaran.
Beliau berkata isu berkenaan perlu dilihat berdasarkan konteks sebenar dan tidak disalah tafsir sebagai isu perkauman hanya kerana ia membabitkan individu daripada kaum atau agama tertentu.
"Isu-isu kebanyakannya berkaitan dengan dasar kerajaan. Ada mungkin kadang-kadang isu jurang ekonomi antara kaum, isu-isu sosial dan isu-isu jenayah ini biasanya dikaitkan dengan sesuatu kaum atau agama.
"Itulah menjadi isu perkauman, padahal itu adalah isu dasar, isu jenayah, isu sivil," katanya pada sidang media program minum petang bersama media di Kuala Lumpur semalam.
Yuneswaran yang juga Ahli Parlimen Segamat berkata peranan media penting dalam memastikan maklumat berkaitan perpaduan disampaikan dengan tepat selain mengelakkan laporan yang boleh menyebabkan sesuatu isu individu dikaitkan dengan keseluruhan kaum atau agama.
Beliau berpandangan reaksi segelintir pengguna media sosial tidak semestinya menggambarkan keadaan sebenar hubungan antara masyarakat di negara ini.
"Kita melihat indeks perpaduan mengikut negeri ada perubahan yang ketara. Nampaknya masyarakat di luar sana sebenarnya tidak ambil tahu pun sebenarnya isu-isu perpaduan ini. Sebenarnya mereka lebih bersatu.
"Sebenarnya hanyalah segelintir netizen, komen-komen yang juga boleh menggugatkan itu," katanya.
Sehubungan itu, beliau berharap pengamal media terus bekerjasama dengan Kementerian Perpaduan Negara dalam menyampaikan mesej keharmonian serta menggalakkan masyarakat memahami dan menghormati perbezaan budaya, agama dan pandangan.
Kata beliau usaha membina negara bangsa memerlukan penglibatan semua pihak, termasuk agensi kerajaan, institusi pendidikan, sektor swasta dan pertubuhan masyarakat selain media yang berperanan menyampaikan maklumat kepada rakyat.
Kementerian turut melaksanakan pelbagai program berkaitan penghayatan Rukun Negara dan perpaduan masyarakat, termasuk Minggu Perpaduan serta aktiviti yang menggalakkan interaksi antara kaum, ujarnya.
Yuneswaran berkata kempen “Bersama Membina Negara Bangsa” perlu terus diperkukuh bagi membudayakan sikap saling memahami dan menghormati dalam kalangan rakyat Malaysia.
Beliau turut mengajak masyarakat menjadikan sambutan perayaan pelbagai kaum sebagai ruang untuk mengeratkan hubungan dan meraikan kepelbagaian yang menjadi identiti negara.
Dalam pada itu katanya, sambutan Deepavali peringkat kebangsaan anjuran Kementerian Perpaduan Negara dijadual berlangsung pada 14 November ini yang dijadual dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
"Kalau kita melihat dalam usaha sepanjang tahun ini, kementerian telah banyak membuat program dan aktiviti-aktiviti perpaduan tentang Rukun Negara dan juga negara bangsa.
"Rata-ratanya memahami budaya Malaysia, agama, memahami antara satu sama lain, faham, hormat. Kita celebrate the differences di negara Malaysia ini," katanya.
Beliau sekali lagi menggesa pengamal media agar tidak membingkaikan kesalahan individu sebagai masalah sesuatu kaum atau agama sebaliknya memberikan ruang kepada pihak berkuasa menjalankan tanggungjawab mereka.
"Kalau isu itu adalah isu individu, biarlah pihak berkuasa mengambil tindakan yang sewajarnya," katanya.




Comments