top of page

KDN siasat menyeluruh isu Network School di Forest City

  • Writer: Helmi Mohd Foad
    Helmi Mohd Foad
  • 53 minutes ago
  • 2 min read

Kementerian Dalam Negeri (KDN) menjalankan siasatan menyeluruh berhubung isu operasi Network School di Forest City, Johor susulan kebimbangan terhadap dakwaan penglibatan individu yang menggunakan pasport negara kedua untuk memasuki Malaysia.


KDN dalam satu kenyataan memaklumkan kementerian itu memandang serius sebarang perkara yang menyentuh aspek keselamatan negara, pematuhan undang-undang imigresen serta penyalahgunaan kemudahan imigresen negara.


"Siasatan yang dijalankan melalui Jabatan Imigresen (JIM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan agensi berkaitan," kata kenyataan itu hari ini.


Kementerian berkata siasatan itu merangkumi semakan terhadap identiti serta kewarganegaraan individu terbabit, status dan kesahihan dokumen perjalanan yang digunakan dan jenis pas imigresen yang dikeluarkan.


Tambahnya, pemeriksaan juga dibuat bagi mengenal pasti tujuan kemasukan ke Malaysia serta pematuhan terhadap syarat di bawah undang-undang imigresen dan peruntukan lain yang berkaitan.


"KDN turut bekerjasama rapat dengan semua kementerian dan agensi berkaitan bagi memastikan setiap aspek di bawah bidang kuasa masing-masing disemak secara menyeluruh mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa," ujarnya.


Kementerian menegaskan tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil sekiranya siasatan mendapati berlaku pelanggaran undang-undang, penyalahgunaan pas imigresen, pemberian maklumat palsu atau kesalahan lain yang menjejaskan keselamatan dan kepentingan negara.


"Kerajaan MADANI juga tidak akan berkompromi terhadap mana-mana individu atau organisasi yang menyalahgunakan kemudahan imigresen atau menjalankan aktiviti yang bercanggah dengan undang-undang.


"Orang ramai turut dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu proses siasatan dan memberi ruang kepada pihak berkuasa menjalankan siasatan secara profesional, telus dan berlandaskan undang-undang," katanya.


Sebelum ini, laporan media tempatan memetik Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi memaklumkan Kerajaan Negeri memandang serius dakwaan berhubung operasi Network School di Forest City yang dikatakan melibatkan individu menggunakan pasport negara kedua untuk memasuki Malaysia.


Beliau menggesa kerajaan Persekutuan melalui KDN dan agensi berkaitan menjalankan siasatan menyeluruh bagi memastikan semua dakwaan disiasat secara telus sebelum tindakan sewajarnya diambil.

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page